Pelancongan Dan Hospitaliti Mesra Muslim Satu Konsep Pemasaran Dan Penjenamaan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 21 October 2021
Read News

PUTRAJAYA :

Islamic Tourism Centre (ITC) telah menganjurkan Seminar Keusahawanan dan Kepimpinan Pelancongan Islam (Islamic Tourism Entrepreneur and Leadership Seminar -- ITELS) hari ini pada 21 Oktober sebagai usaha untuk membantu rakyat Malaysia mengenali sektor Pelancongan Islam sebagai idea perniagaan baharu, sekaligus menyuntik semangat baharu bagi mereka yang terkesan ekonominya semasa pandemik ini.

Sebagai pembuka tirai, YB Dato Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah memberi ucaptamanya dengan menyatakan: "Skop Pelancongan Islam adalah luas untuk diterokai dan masih lagi di peringkat awal. Ia merangkumi produk dan perkhidmatan pelancongan berciri Islam, hospitaliti dan penginapan Mesra-Muslim." 

Beliau tambah: "Matlamat utama MOTAC melalui ITC adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan menceburi bidang keusahawanan dalam pelancongan Islam seiring dengan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030; yang menekankan kepada usaha meningkatkan pendapatan negara melalui kerjasama awam-swasta dan memperkasakan masyarakat setempat."

ITC sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk mengembangkan Pelancongan Islam negara perlu terus memberi kefahaman dan mendidik usahawan berkaitan pelancongan Islam dengan bekerjasama antara agensi-agensi kerajaan dalam membangunkan produk pelancongan Islam, kata beliau.

"Melalui kerjasama penggiat industri dan agensi kerajaan, saya yakin ITC dapat membantu para usahawan Malaysia, meningkatkan daya saing di peringkat global dan mengukuhkan kedudukan negara ini, di tangga teratas dalam hub ekonomi Islam."

Beliau juga menekankan kepentingan adanya garis panduan dan standard yang jelas serta kepentingan sijil Halal berkaitan produk dan perkhidmatan Pelancongan Islam. "Selain meningkatkan standard kualiti dalam pelancongan Islam, produk-produk yang dihasilkan ini juga, akan mampu bersaing dan menandingi kualiti produk pelancongan yang lain; seterusnya; dipasarkan di peringkat tempatan dan luar negara...(dan) memberi jaminan bahawa produk berkenaan,  tidak melanggar syariat Islam."

YB Nancy juga menjelaskan beberapa peluang perniagaan yang ada di bawah Pelancongan Islam seperti dalam industri spa dan sektor hospitaliti yang lain. Pengurusan kewangan dan pembiayaan perniagaan juga perlu dalam menguruskan sesuatu perniagaan dan beliau juga mengulas mengenai skim-skim pembiayaan yang disediakan oleh pihak MARA dan perkongsian dari pihak PERNAS mengenai perancangan kewangan dan pengurusan perniagaan.

Ketua Pengarah ITC, Dato' Dr. Mohmed Razip Hasan, sebagai salah seorang penceramah seminar telah memberi penerangan mengenai potensi pasaran pelancong Muslim. Beliau berkata: "Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality -- MFTH) adalah satu konsep pemasaran dan penjenamaan yang digunakan untuk menarik minat pelancong-pelancong Muslim."

"Selain peluang-peluang dalam perniagaan tradisi pelancongan seperti pengusaha pelancongan, penginapan, pemandu pelancong dan pengusaha tarikan Pelancongan, kini terdapat peluang-peluang keusahawanan baru yang muncul. Ia semakin ketara dalam Pelancongan Islam yang dimajukan dengan konsep Mesra Muslim."

"Ini termasuklah perkhidmatan sokongan dan hospitaliti seperti penginapan Mesra Muslim termasuk hotel dan Inap Desa, sajian makanan dan minuman Halal dan Toiyobban, hasil seni dan kraftangan tempatan, pakaian dan fesyen Muslim dan Muslimah, spa dan penjagaan kesihatan (spa & wellness), pendidikan Islam seperti tahfiz dan pendidikan tinggi serta perubatan Islam yang diperakui."

"Begitu juga dengan peluang-peluang dalam muzik & hiburan Islamik, sukan dan riadah Mesra Muslim serta aktiviti minat khas yang dibenarkan (permissible) serta keperluan agama seperti ibadat kurban, aqiqah, nikah kahwin, majlis sosial dan mesyuarat & konvensyen tanpa unsur pembaziran dan melalaikan."

Barisan pakar industri yang dijemput sebagai penceramah dalam seminar ini adalah wakil-wakil dari MARA, PERNAS, Penganalisis MyHalal (TV1), dan Jabatan Standard Malaysia. Topik-topik menarik yang disampaikan oleh barisan panel penceramah, termasuklah:

a. Pengenalan Pelancongan Islam & Potensi Pasaran Pelancong Muslim
Dato’ Dr. Mohmed Razip Hasan, Ketua Pengarah, Islamic Tourism Centre
Quote by Dato' Dr.: Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim adalah satu konsep pemasaran dan penjenamaan yang digunakan untuk menarik minat pelancong-pelancong Muslim."

b. Taklimat Dana Bantuan Usahawan
A. Razu Abdul Razak, Pengarah – Pembiayaan Perniagaan, Majlis Amanah Rakyat (MARA)
Quote by En. A. Razu: “Belanjawan akan menunjukkan ke mana wang anda akan pergi dan bukannya tertanya- tanya ke mana ia pergi.”

c. Kepentingan Pensijilan Halal dalam Pelancongan Islam
Ustaz Amri Abdullah, Penganalisis, MyHalal TV1
Quote by Ustaz Amri: "“Pensijilan Halal mampu membeli kepercayaan dan  nilai ekonomi kepada kluster pelancongan Halal”.

d. Pengenalan Standard Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim
Puan Fakheezah Borhan, Penolong Pengarah Kanan
Jabatan Standard Malaysia
Quote by Puan Fakheezah: “Standard dapat memperkasakan pelancongan Islam sebagai nilai tarikan dan nilai ekonomi negara”.

e. Industri Spa Mesra Muslim
Puan Hana Halim, Naib Presiden
Persatuan Spa Malaysia
Quote by Puan Hana: "“Spa bukan sekadar untuk beriadah tetapi ia adalah sebuah kerjaya yang penting di dalam eko-sistem industri kesihatan.”

f. Kepimpinan Keusahawanan dalam Pelancongan Islam
Puan Liz Othman, Master Coach
Persatuan Jurulatih Kesejahteraan Malaysia
Quote by Puan Liz: "“Mindset yang betul adalah formula utama dalam kepimpinan keusahawanan.”

g. Perancangan dan Pengurusan Kewangan
Encik Mohd Fuad Halim, Ketua Koordinasi PERNAS Outreach Programme
Quote by En. Mohd Fuad: "“Pengurusan kewangan yang teratur akan membantu mensejahterakan kehidupan kita pada masa hadapan."


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.