Pelancongan digital bantu pemain industri terjejas

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 12 June 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM) mengajak pemain sektor industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 beralih kepada pelancongan digital.

Presidennya, Rohizam Md Yusof, berkata DiTTAM akan menjadi seperti pusat sehenti kepada semua sektor pelancongan dalam usaha membantu mempromosikan pakej dan produk masing-masing.

Katanya, walaupun negara sedang berdepan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun usaha ini sebagai persediaan kepada pemain industri sebaik saja kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan atau gelembung perjalanan dibenarkan.

"Sektor pelancongan antara yang terkesan teruk sejak Mac tahun lalu, mengakibatkan industri pelancongan negara menurun kira-kira 95 peratus apabila pergerakan domestik dan luar negara ditutup.

"Keadaan ini mengakibatkan banyak syarikat pelancongan ditutup dan pekerja diberhentikan," katanya pada majlis pelancaran DiTTAM, yang dilakukan secara maya.

Rohizam berkata, peralihan kepada pelancongan digital ini juga bertepatan dengan seruan kerajaan menuju ke arah Digital Malaysia, selain dapat memanfaatkan teknologi digital bagi membuat, mengurus dan mendorong inovasi sosial.

Katanya, bagi merealisasikan perkara ini, DiTTAM memerlukan sokongan agensi korporat dan individu dalam industri pelancongan, teknologi maklumat serta industri lain yang berkaitan untuk bekerjasama.

"Visi DiTTAM adalah bertindak sebagai pemangkin transformasi digital ke arah pelancongan pintar dan misinya untuk mendorong inovasi dengan bekerjasama pihak berkaitan bagi merapatkan jurang serta memperkukuhkan industri pelancongan melalui teknologi digital.

"Sebagai langkah pertama, corak pemikiran pemain industri dalam rantaian pelancongan juga mesti berubah secara radikal daripada cara lama kepada teknologi.

"DiTTAM kita menyediakan pelbagai pelan jangka panjang dengan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan diadakan majlis secara maya untuk memastikan orang ramai sedar mengenai industri pelancongan yang masih wujud," katanya.

Beliau berkata, ketika ini tumpuan diberikan kepada sektor pelancongan domestik bukan saja dari sudut pakej pelancongan, tetapi juga produk pelancongan yang boleh dipromosikan.

"Penyertaan ramai pemain industri dalam DiTTAM dapat memberi peluang pasaran lebih luas berbanding mempromosikan secara sendiri.

"Sebagai langkah pertama, DiTTAM merancang mengadakan pameran digital maya pada bulan depan dan berharap ia membuka mata semua pemain industri di negara ini," katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai DiTTAM, boleh layari laman sesawang www.dittam.org atau pertanyaan ke hello@dittam.org.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.