Pemandu bas ekspres harap tidak dikecualikan bantuan sekali beri

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 25 January 2021
Read News

JOHOR:

Kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian bantuan sekali beri yang diumum kepada pemandu teksi dan bas baru-baru ini supaya turut merangkumi mereka yang memandu bas ekspres.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor K.Thiagarajan berkata bantuan di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lepas itu perlu bersifat lebih menyeluruh.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata cadangan itu diberikan pihaknya selepas meneliti pakej berkenaan yang antaranya memperuntukkan bantuan sekali beri sebanyak RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.

Selain itu, di bawah pakej Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi, turut akan diperkenalkan Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan, yang menyaksikan 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi, oleh syarikat sewa beli dan pajakan. 

Mengenai skim ini, Thiagarajan mengesyorkan ia dikaji semula dengan mengambil kira pandangan peminjam atau para pengusaha kerana ia dilihat masih kurang membantu para peminjam.

Beliau turut memohon supaya kerajaan campur tangan dalam isu syarikat kredit yang melakukan pemerasan dan mengugut peminjam di kalangan pengusaha bas yang gagal melakukan pembayaran ansuran ketika tempoh pandemik COVID-19 ini.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.