PEMERKASA bantu aliran tunai syarikat pelancongan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 26 April 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Bantuan tunai dan galakan cukai kepada sektor pelancongan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) membantu melegakan aliran tunai syarikat dan pengusaha sektor berkenaan.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang, berkata pihaknya mengalu-alukan bantuan PEMERKASA, terutama jaminan kerajaan untuk melonggarkan sekatan perjalanan apabila keadaan kembali terkawal.

Katanya, tidak dinafikan juga pakej rangsangan itu mampu menghidupkan semula industri pelancongan domestik yang terjejas agak lama sejak tahun lalu susulan pandemik COVID-19.

"Kami sentiasa mengadakan libat urus dengan kerajaan dan amat gembira apabila banyak cadangan kami didengari dan direalisasikan oleh kerajaan di dalam PEMERKASA ini.

"Kami berharap semua inisiatif yang diperkenalkan kerajaan ini akan memberikan harapan baharu kepada lebih 5,000 ejen pelancongan untuk mengharungi detik mencabar," katanya.

Mengulas lanjut Kok Liang berkata, pengusaha pelancongan juga berharap sempadan negara dapat dibuka semula bagi membenarkan pelancong antarabangsa masuk ke Malaysia selepas pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Saya juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan geran khas secara sekali bayar berjumlah RM3,000 ini kepada agensi pelancongan berdaftar dengan MOTAC serta pengecualian cukai terhadap pakej pelancongan ditawarkan oleh ejen pelancongan berdaftar, yang mana semua ini dicadangkan oleh MATTA sebelum ini.

"Kami sentiasa terbabit dalam meninjau inisiatif diusahakan kerajaan bagi membantu pengusaha pelancongan," katanya.

 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.