Penerbangan domestik, ASEAN pulih tahun ini

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 1 year ago on 5 May 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

ndustri penerbangan dijangka akan pulih ke tahap pra-COVID-19 menjelang penghujung tahun ini bagi pasaran domestik dan ASEAN sekali gus memberikan lonjakan operasi kepada syarikat penerbangan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail, berkata kumpulan optimis bahawa industri penerbangan akan beransur pulih kepada keadaan asalnya seperti pra-pandemik dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pemulihan pantas dijangka akan dapat dicapai sepenuhnya tahun ini bagi pasaran domestik dan ASEAN manakala pasaran antarabangsa atau antara benua pula diunjurkan hanya akan pulih menjelang 2024.

MAG katanya menjangkakan akan dapat kembali mencatatkan pulangan modal dan aliran kewangan positif menjelang 2023 di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 (LTBP 2.0).

"Kos operasi serta pajakan yang lebih rendah hasil daripada inisiatif penjimatan di seluruh kumpulan selepas pensrtukturan semula juga telah menyumbang kepada peningkatan prestasi pada 2021," katanya.

Izham berkata, walau begitu, kelangsungan perniagaan bagi kebanyakan syarikat penerbangan bergantung kepada keadaan pasaran semasa dan kadar permintaan penumpang.

Beliau berkata, syarikat penerbangan yang ada bukan sahaja perlu bersaing dengan lambakan kapasiti dan saingan sesama syarikat penerbangan tetapi juga terpaksa mengharungi cabaran berkenaan harga bahan api yang tinggi berikutan konflik Russia-Ukraine.

Justeru itu katanya, MAG komited dalam menyokong inisiatif kerajaan dan menjadi salah satu pemain utama untuk menggalakkan percutian domestik melalui promosi berterusan.

Kerjasama daripada semua pihak berkaitan adalah amat penting katanya bagi mencari penyelesaian pantas yang saksama demi memulih dan menstabilkan kembali sektor penerbangan, pelancongan dan ekonomi negara.

MAG katanya mempunyai tiga pusat untuk jana keuntungan iaitu perniagaan penerbangan yang meliputi Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan AMAL; perniagaan perkhidmatan penerbangan seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), kargo, pengendalian darat dan Akademi MAB serta platform digital gaya hidup sehenti bersepadu yang mewakili portfolio perniagaan e-dagang dan Journify, perkhidmatan pelancongan MAG.

"Kumpulan menjangkakan segmen perniagaan bukan syarikat penerbangan akan menyumbang 25 peratus kepada pendapatan kumpulan menjelang 2025, berbanding sekitar 12 hingga 15 peratus ketika ini.

"Pelancaran Journify membuktikan MAG berada pada landasan dalam perjalanan transformasi MAG ke arah menjadi kumpulan perkhidmatan pelancongan dan penerbangan yang terkemuka di Asia," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.