Pengusaha pelancongan perlu ambil kesempatan peningkatan pelancong domestik

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 19 August 2020
Read News

PERAK:

Pengusaha pelancongan di Perak diseru mengambil peluang daripada kehadiran pelancong domestik bukan sahaja untuk meningkatkan keuntungan, malah membantu ekonomi negeri. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata bagi pihak kerajaan negeri, pelbagai inisiatif diambil termasuk mengadakan latihan teknikal dan vokasional kepada pengusaha pelancong terutama pemandu pelancong. 

“Pelancongan domestik di negeri ini semakin rancak dan kerajaan negeri melalui pelbagai program sentiasa memastikan promosi dilakukan di platform yang lebih luas bagi membantu memulihkan industri pelancongan.

“Sehingga kini, kita telah memperuntukkan lebih RM10 juta untuk aspek pembangunan fizikal, latihan untuk pemain industri dan bantuan kepada peniaga kecil bagi membantu pemulihan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Pelancongan Daerah Mualim di Universiti Pengajian Sultan Idris.

Seramai 55 pengusaha produk pelancongan, premis penginapan dan syarikat pengembaraan pelancongan terlibat dalam program dua hari yang bermula semalam anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia negeri Perak dengan kerjasama kerajaan negeri dan Tourism Perak Management Berhad.

Nolee Ashilin berkata program tersebut diadakan bagi menggerak dan menambah nilai dalam aspek pembangunan modal insan dalam kalangan pengusaha dalam menyokong aspirasi pelancongan negeri.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri giat mempromosi industri pelancongan, pihaknya sentiasa memantau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi menjamin percutian selamat seterusnya mengekang penularan wabak COVID-19. 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.