Perlis perkenal ekopelancongan digital di Gua Kelam

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 27 October 2020
Read News

PERLIS:

 Bagi ‘merawat’ sektor pelancongan yang terkesan akibat wabak COVID-19 ketika ini, kerajaan Negeri Perlis menerusi Pelan Perlis Digital 2025 memperkenalkan ekopelancongan digital di Gua Kelam, di sini. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata pemilihan Gua Kelam sebagai projek perintis adalah berdasarkan daya tarikan dan popularitinya sebagai salah satu produk pelancongan di negeri itu.

Beliau berkata Muzim 3D adalah elemen digital pertama diperkenalkan di Gua Kelam satu pada tahun lepas, dan mendapat sambutan hangat daripada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menurut Azman, idea pendigitalan timbul bagi memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan keindahan dan keunikan Gua Kelam memandangkan tidak semua pengunjung mampu masuk ke dalam gua berkenaan atas faktor usia dan kesihatan.

“Tidak ramai mengetahui terdapat tiga Gua Kelam iaitu Gua Kelam satu, Gua Kelam dua dan Gua Kelam tiga yang mempunyai keunikan masing-masing.

“Menerusi ekopelancongan digital, kami masukkan maklumat tentang Gua Kelam dalam format digital bagi membolehkan orang ramai  merasai dan menikmati sendiri keunikan ketiga-tiga Gua Kelam ini tanpa perlu terokai laluan gua yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata dengan pelaksanaan ekopelancongan ini juga dapat memudahkan pengunjung dengan perkhidmatan bayaran secara dalam talian untuk memasuki tempat-tempat tertentu, tanpa perlu membawa wang tunai jika ingin masuk ke dalam Gua Kelam.

Azman berkata terdapat pihak swasta yang berminat untuk terlibat dalam usaha berkenaan dan kerajaan negeri bersama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis sedang meneliti perkara itu.

Dalam pada itu, exco pelancongan negeri Asmaiza Ahmad berkata sudah tiba masa untuk sektor pelancongan menerima budaya digital memandangkan semua maklumat kini boleh dicapai menerusi internet.

Beliau yakin masyarakat telah bersedia untuk menerima Pelan Perlis Digital 2025 memandangkan ia satu keperluan dalam norma baharu selepas dunia dilanda wabak COVID-19 kerana orang ramai kini cenderung berurusan secara dalam talian seperti melakukan pembelian, pembayaran tanpa tunai dan sebagainya.

“Kami harap pendigitalan dapat dilakukan dalam semua sektor di negeri ini agar Perlis tidak ketinggalan dan rakyat Perlis turut menerima budaya baharu ini,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.