Projek Pembesaran LTAPP dijangka tangguh

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 1 June 2020
Read News

PULAU PINANG :

 Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dijadual bermula pada Jun ini berkemungkinan ditangguh susulan penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkaitan berkenaan status projek itu.

"Walaupun projek menaik taraf LTAPP telah mendapat kebenaran merancang dan kelulusan pelan bangunan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), tetapi kini bukan masa yang sesuai untuk memulakan projek ini memandangkan keadaan tidak menentu lagi. Kalau penularan COVID-19 masih berlarutan, lapangan terbang ini masih tidak akan dapat digunakan dengan sebaiknya.

"Justeru, pihak pengurusan perlu membuat pertimbangan sama ada pembesaran LTAPP akan membawa manfaat atau sebaliknya. Kerajaan negeri dimaklumkan bahawa keputusan jelas mengenai perkara berkaitan mungkin ditentukan dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun dari sekarang," katanya menerusi hantaran di Facebook peribadinya.

Chow berkata penularan COVID-19 juga telah 'membelakangkan' pencapaian terutamanya melibatkan sasaran jumlah penumpang di LTAPP yang sepatutnya menyaksikan kira-kira 8.5 juta penumpang pada tahun ini. 

"Jadi, amat ketara penerbangan dan pelancongan adalah sektor yang amat terkesan dengan COVID-19. Kegiatan pelancongan, peruncitan dan sebagainya turut terjejas oleh kerana penerbangan dihentikan dan sekatan penerbangan yang dikenakan bukan sahaja di Malaysia malah hampir di seluruh dunia.

"Saya berharap semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemain industri dapat menghadapi cabaran ini bersama-sama. Walau apa pun, kita perlu bertahan sehingga keadaan pulih dengan sepenuhnya," tambah beliau.

Projek itu membolehkan LTAPP menampung sehingga 12 juta penumpang berbanding kapasiti semasa iaitu 6.5 juta penumpang ketika ini.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.