Projek Tebingan Sungai Dijangka Siap Hujung Tahun Ini

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 23 May 2020
Read News

SARAWAK:

Projek pengindahan tebingan sungai dari Kampung Boyan ke kawasan Kubu Margherita di seberang Tebingan Kuching, dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata  projek yang menelan kos RM24 juta itu membolehkan orang ramai dan pelancong melawat ke kawasan sekitar kubu bersejarah berkenaan.

"Selepas siap, kawasan (Kubu Margherita) ini akan dibuka kepada orang ramai dan pengunjung. Kita berharap rakyat Kuching dan pengunjung berbangga (melawat kawasan kubu itu) dan mengelakkan vandalisme," katanya.

Katanya projek yang bermula pada 2017 itu membabitkan pembinaan kawasan air terjun, laluan pejalan kaki dari Kampung Boyan hingga ke Jambatan Darul Hana dan kerja naik taraf Pangkalan Sapi.

Beliau berkata projek yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, turut membabitkan pembinaan sebuah rumah tradisi ‘English Tea House’ yang memberi peluang orang ramai minum petang di kawasan itu.

Abdul Karim berkata projek berkenaan juga dilaksanakan kerana kawasan sekitar kubu bersejarah itu agak gelap pada waktu malam walaupun terletak bersebelahan Air Pancut Berirama Darul Hana dan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

"Kerja penyiapan projek ini tergendala sedikit (disebabkan pelaksanaan) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas. Kalau kita lihat tapak projek di tebingan sungai dan berbukit, keadaan seperti ini memang agak sukar menjalankan kerja penghantaran bahan (pembinaan ke tapak)," katanya.

Beliau berkata cuaca hujan lebih menyukarkan usaha kontraktor untuk menyiapkan kerja di kawasan berbukit curam mengikut jadual berbanding di kawasan tanah rata.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.