Rakyat Malaysia diingatkan agar menjadi pelancong bertanggunjawab

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 27 March 2021
Read News

KUCHING:

Rakyat Malaysia diingatkan agar menjadi pelancong bertanggunjawab dan tidak leka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu bukan sahaja penting dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 malah perlu bagi memastikan industri pelancongan dapat diteruskan.

“Sama-samalah kita (pelancong dan penggiat industri) bekerjasama agar industri pelancongan dan kebudayaan tempatan tidak perlu lagi melalui saat sukar melalui penutupan aktivitinya.

“Penutupan aktiviti pelancongan memberi impak negatif terhadap rantaian ekonomi mereka yang terlibat juga kepada negara secara amnya,” kata beliau ketika berucap pada acara Malaysia Prihatin di Simunjan.

Pada 10 Mac lalu, Menteri Kanan ( Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti pelancongan rentas negeri antara negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi program Gelembung Pelancongan Bersasar.

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun aktiviti itu tertakluk kepada SOP ketat termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu, Nancy menyeru rakyat Malaysia supaya menggunakan ruang dan peluang yang diberikan kerajaan untuk bersama-sama menyemarakkan pelancongan domestik.

“Saya percaya banyak lagi destinasi menarik yang ada di negara kita yang belum kita terokai sepenuhnya.

“Pelbagai lagi aktiviti seni dan budaya kita yang boleh kita kenali dan hargai,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.