Sarawak mulakan kajian pelan induk pelancongan ketiga

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 22 October 2020
Read News

SARAWAK:

Unit Perancangan Ekonomi Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri sedang menjalankan kajian bersama mengenai pelan induk pelancongan ketiga untuk negeri itu bagi memulihkan industri pelancongan yang terkesan oleh COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pelan induk bagi tempoh 2020-2035 itu akan turut mengenal pasti strategi dan model perniagaan baharu bagi permintaan dan penawaran industri pelancongan.

"Daripada pelan induk itu, kita akan dapat mengenal pasti dan membangunkan hala tuju strategik dan pelan tindakan untuk memacu pertumbuhan jangka pendek dan jangka panjang, menggalakkan inovasi selain membolehkan pengusaha pelancongan sedia ada dan pelabur berpotensi mengenal pasti usaha sama, khususnya menerusi perkongsian awam-swasta. 

"Kita akan memastikan pembangunan pelancongan bukan hanya memanfaatkan sektor korporat tetapi juga orang ramai dengan melibatkan mereka dalam dalam industri berasaskan pelancongan, seni dan budaya," katanya pada pelancaran Kursus Pemandu Pelancong Khas Wilayah (RSTG) Kuching ambilan 2020.

Katanya pemain dan pakar industri daripada sektor awam dan swasta akan terlibat dalam  penggubalan pelan tersebut bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya memandangkan kerajaan negeri telah mengenal pasti pelancongan sebagai sektor ekonomi penting di Sarawak.

Abdul Karim berkata penggubalan akan berpandukan Aspirasi Pelancongan 2030 Sarawak, yang mahu menjadikan negeri itu sebagai destinasi utama ekopelancongan dan perniagaan di rantau ASEAN.

Menurutnya, pandemik COVID-19 telah menimbulkan kebimbangan khususnya untuk  kempen ‘Sarawak More To Discover’ dengan slogan ‘Rediscover Yourself in Sarawak’ yang menyasarkan pasaran domestik dengan strategi pemasaran yang sedang dikaji semula oleh kementeriannya.

"Ini termasuk mengubah inisiatif promosi dan pemasaran kepada pelancongan domestik dengan melancarkan pakej pelancongan Sia-Sitok Sarawak dan menggalakkan penduduk tempatan untuk memilih Sarawak sebagai destinasi percutian serta merangsang industri pelancongan tempatan," tambah beliau.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.