Scoot dijadualkan menyambung semula perkhidmatannya ke Kuala Lumpur

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 25 July 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

Cabang penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot dijadualkan menyambung semula perkhidmatannya ke Kuala Lumpur pada bulan depan susulan pembukaan semula laluan ke Kuching, Ipoh dan Pulau Pinang pada Jun 2020.

Malah, syarikat tersebut akan turut memperkenalkan semula laluan tambahan ke destinasi-destinasi lain dalam rangkaiannya pada Ogos depan.

"Scoot akan menyambung semula penerbangan Scootplus yang beroperasi menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner Scoot berkuat kuasa 1 Ogos ini. Bagaimanapun, sejajar dengan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan dipertingkatkan yang dilaksanakan Scoot, perkhidmatan berikut di bawah ScootPlus tidak akan ditawarkan sehingga makluman selanjutnya," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Ini membabitkan kemudahan bagasi kabin 15 kilogram (kg) dan digantikan dengan had bagasi kabin 3 kg manakala baki bagasi kabin (sehingga 12 kg) boleh didaftar masuk tanpa sebarang kos tambahan.

Selain itu, minuman dan makanan juga tidak lagi disediakan menerusi pembelian dalam talian serta dalam pesawat, sebaliknya digantikan dengan pek sajian yang diletakkan lebih awal di tempat duduk selain khidmat daftar masuk keutamaan serta menaiki pesawat.

"Bagi keselesaan dan kelegaan pelanggan kami ketika melakukan perjalanan, Scoot kini melanjutkan kemudahan pertukaran tarikh kali pertama secara percuma kepada semua tempahan baharu yang dibuat mulai sekarang sehingga 30 Sept, 2020.

"Scoot turut melanjutkan Dasar Pengecualian Perjalanan COVID-19 kepada semua penerbangan yang berlepas sehingga 30 Sept, 2020. Dasar itu menawarkan pembayaran balik 100 peratus untuk pelanggan terbabit atau 120 peratus bayaran balik bagi baucar Scoot jika penerbangan mereka dibatalkan," katanya.

Maklumat lanjut mengenai jadual penerbangan terkini untuk Ogos 2020 dipaparkan di laman sesawang Scoot.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.