Sekatan pergerakan penuh beri tekanan pasaran saham

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 1 June 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara selama dua minggu bermula esok akan mendorong tekanan jualan dalam pasaran saham tempatan, namun ia tidak seteruk yang berlaku tahun lalu, demikian menurut penganalisis.

Semasa sesi dagangan dibuka semalam, pasaran saham rendah dengan indeks penanda aras FBM KLCI merosot 23.4 mata kepada 1,571.04, sebelum mengurangkan kerugiannya ketika ditutup apabila berakhir 10.89 mata lebih rendah pada 1,583.55.

Affin Hwang Capital dalam notanya berkata, reaksi penjualan panik sudah dijangka ketika pasaran dibuka semalam susulan pengumuman pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara untuk membendung jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini dengan catatan jangkitan tertinggi harian melepasi paras 9,000 kes.

Bagaimanapun, ia menjangkakan tekanan jualan tidak akan sama seperti yang berlaku pada 2020 memandangkan pelaksanaan program vaksin sedang berjalan.

"Pada pandangan kami, sekatan pergerakan yang lebih ketat akan membantu kerajaan untuk mencapai matlamat membendung virus.

"Jika garis masa vaksin kerajaan tepat, kami berpendapat bahawa ini akhirnya akan membentuk paras bawah untuk KLCI. Sebarang penjualan mendadak terhadap KLCI akan mewujudkan peluang belian," katanya.

Firma itu berkata, ia akan memberi tumpuan kepada saham yang dijangka mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi seperti Genting, REIT Runcit (KLCC, Pavilion REIT, IGB) dan pelancongan (AirAsia, MAHB) yang belum pulih sepenuhnya berbanding sektor lain.

Katanya, sektor yang diberi penekanan atau 'overweight' ialah bank, REIT, penjagaan kesihatan, elektronik, teknologi dan produk getah dengan sasaran akhir tahun bagi 2021 buat masa ini bagi indeks FBM KLCI kekal pada paras 1,730 mata.

 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.