SPPP pelawa pihak berkelayakan kemuka cadangan untuk pajakan feri

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 28 January 2021
Read News

GEORGETOWN:

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP)  mempelawa pihak berkelayakan mengemukakan cadangan masing-masing bagi tawaran pajakan feri ikonik Pulau Pinang untuk dijadikan muzium atau restoran terapung.

Pengerusinya Datuk Tan Teik Cheng berkata dokumen tawaran permohonan cadangan (RFP) untuk tujuan itu akan dijual kepada umum bermula 29 Jan hingga 15 Feb dan tarikh tutup untuk mengemukakan cadangan ialah pada 19 Mac depan.

Pajakan ini ialah untuk tempoh 10 tahun dengan opsyen penyambungan lima tahun, katanya dalam kenyataan hari hari ini.

Menurutnya tawaran itu selaras dengan keputusan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang berkenaan secara dalam talian melalui www.penangport.gov.my.

Sementara itu, Tan berkata susulan perbincangan dengan kerajaan negeri yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari pada 11 Jan lalu, SPPP bersetuju menghadiahkan sebuah feri kepada kerajaan negeri selepas mengambil kira hubungan serta kerjasama baik kerajaan Pulau Pinang selama ini. 

Bermula 1 Jan lepas, perkhidmatan bot laju telah digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki menggantikan feri ikonik yang sudah beroperasi kira-kira 126 tahun di negeri ini.

Feri sedia ada pula hanya akan digunakan bagi membawa penunggang basikal dan motosikal hingga Julai 2022 manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.