SWM Environment laksana kerja pembersihan pantai di Port Dickson setiap hari

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 8 July 2020
Read News

SEREMBAN:

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) melaksanakan kerja-kerja pembersihan setiap hari di 18 buah pantai di Port Dickson selepas ia dibuka semula kepada pengunjung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengurus SWM Environment Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan Dr Al' Ashari Othman berkata demikian dalam kenyataan di sini, hari ini selepas tular di media sosial mengenai persekitaran pantai Port Dickson yang kotor dengan sampah yang dibuang segelintir pengunjung.

Beliau berkata kerja pembersihan melibatkan Pantai Telok Kemang, Pantai Saujana, Pantai Bagan Pinang, Pantai Dickson, Pantai Cermin, Pantai Tanjung Biru, Pantai TNB Kondo, Pantai KAYNS, Pantai Purnama, Pantai Kemang Indah, Pantai Desa Lagoon, Pantai Cahaya Negeri, Pantai Nelayan, Pantai Avillion, Pantai Sunshine, Pantai Legacy Hotel, Pantai Batu 1 dan Pantai Tanjung Gemok.

"Bagi Pantai Teluk Kemang dan Pantai Saujana, pekerja SWM Environment melaksanakan kerja-kerja pembersihan sebanyak tujuh kali dalam seminggu bermula  6 pagi hingga 3 petang manakala bagi pantai-pantai lain bermula 7.30 pagi hingga 4.30 petang," katanya.

Beliau berkata bagi memudahkan pengunjung melupuskan sisa yang dijana, pihak syarikat turut menyediakan tong sampah berkapasiti 120 liter dan 1,000 liter di sepanjang pantai berkenaan.

"Pihak syarikat menyeru orang ramai untuk bersama-sama menggunakan kemudahan tong sampah yang disediakan di sepanjang pantai untuk melupuskan sisa yang dijana bagi menjamin tahap kebersihan pantai daripada tercemar terutamanya ketika wabak COVID-19 masih lagi dalam fasa pemulihan.

"Pengunjung yang memakai penutup hidung dan mulut perlu menguruskan pelupusannya termasuk sarung tangan dan juga sisa lain dengan betul bagi mengelakkan risiko penyebaran wabak COVID-19 kepada pengunjung lain," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.