Tahap pematuhan SOP pengusaha industri pelancongan adalah baik

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 8 September 2020
Read News

PUTRAJAYA :

Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengusaha industri pelancongan termasuk operator bot di seluruh negara adalah baik, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof.

Beliau berkata pengusaha industri pelancongan turut berperanan mengingatkan pengunjung di premis masing-masing supaya tidak mengabaikan SOP.

"Pematuhan SOP pengusaha industri pelancongan dipantau oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan pihak berwajib yang lain. Pada masa yang sama Tourism Malaysia sentiasa memberikan peringatan  mengenai  SOP kepada semua pengusaha pelancongan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MyCar sebagai e-hailing rasmi Langkawi Great Sale 2020 di pusat beli-belah IOI City Mall.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan berkata tahap  pematuhan SOP dalam kalangan pengusaha industri pelancongan di Langkawi adalah baik.

"Pemain industri pelancongan di Langkawi sangat memahami kepentingan SOP. Sebagai contoh untuk kereta kabel sebelum ini enam orang ditetapkan bagi setiap gondola. Namun kini jumlahnya dikurangkan kepada empat orang bagi membolehkan penjarakan fizikal," katanya lagi.

Kata Hezri, penandaan turut dibuat di banyak tempat bagi mengingatkan pengunjung di Langkawi tentang penjarakan fizikal.

Ditanya mengenai kedatangan pelancong ke pulau bebas cukai itu, Hezri berkata jumlah pelancong meningkat setiap bulan selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula Jun lepas.

"Pada Jun, kira-kira 82,000 orang mengunjungi Langkawi sementara pada Julai jumlahnya meningkat kepada 189,000 pengunjung.

“Jumlah ini dijangka meningkat bagi bulan Ogos namun  angka tersebut masih belum dimuktamadkan pada waktu ini," katanya lagi.

Hezri berkata  antara faktor peningkatan pengunjung ke Langkawi ialah pertambahan jumlah penerbangan yang kini mencecah 77 penerbangan setiap minggu dan peningkatan kekerapan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah pada hujung minggu.

Mengenai MyCar sebagai e-hailing rasmi Langkawi Great Sale, beliau berkata pengguna boleh menikmati kadar rata  menerusi kod promosi khas.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.