Vaksin terbuka mampu bantu pelancongan Langkawi

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 29 April 2021
Read News

LANGKAWI:

Kerajaan negeri mencadangkan agar program pemberian vaksin COVID-19 dapat dibuat secara terbuka kepada penduduk Langkawi bagi mempercepatkan pemulihan industri pelancongan pulau itu yang terjejas teruk sejak lebih setahun lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya sudah bertemu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membincangkan perkara itu dan kemungkinan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Saya dan Khairy Jamaluddin (Menteri MOSTI) ada bertemu dan berbincang mengenai program vaksinasi khusus membabitkan antara 100 hingga 200 individu sehari di Langkawi secara 'walk in' atau terbuka.

"Harapan kita, program ini dapat segera dilaksanakan ke atas penduduk berusia 18 tahun ke atas dan membantu meningkatkan kembali ekonomi mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pendekatan vaksin terbuka dicadangkan berikutan jumlah penduduk Langkawi yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera agak rendah, sedangkan ada kira-kira 85,000 penduduk Langkawi berusia 18 tahun ke atas.

Beliau berkata, pendekatan terbaharu itu penting dilaksanakan kerana 70 peratus sumber ekonomi penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan.

"Jika sebahagian besar penduduk (Langkawi) sudah divaksin, ini meyakinkan Kerajaan Pusat melaksanakan gelembung pelancongan bersasar.

"Pelancong yang lengkap menerima vaksin boleh datang, penduduk yang terima suntikan sama boleh sambut, sekali gus perniagaan akan hidup kembali," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu juga dapat membantu penduduk luar bandar yang berdepan masalah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera kerana faktor usia dan tiada telefon pintar, turut mendapat vaksin.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.