7 aktiviti pelancongan utama dibenar di Langkawi

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 4 September 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membenarkan tujuh aktiviti pelancongan utama di Langkawi sempena pembukaan semula pulau peranginan itu kepada pelancong tempatan pada 16 September ini.

MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata ia merangkumi kebenaran penginapan di hotel dan homestay termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan homestay (rumah inap), aktiviti perniagaan seperti mesyuarat, insentif, konvensyen, dan pameran serta acara-acara pelancongan dan kebudayaan.

"Kebenaran juga diberikan untuk produk tarikan utama pelancong seperti aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, sukan lasak atau pengembaraan (adventure) atau taman semulajadi (nature parks), ladang (farms), akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial.

"Aktiviti pelancongan minat khas seperti golf, selam skuba, berbasikal), memancing, pelayaran dan sebagainya juga dibenarkan," menurut kenyataan itu.

Turut dibenarkan ialah aktiviti eko geo-kembara seperti berkhemah, mendaki, kembara gua, dan 'jungle trekking' dan sebagainya.

Premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain-lain juga dibenarkan beroperasi, menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu turut dibenarkan beroperasi ialah taman tema dan pusat hiburan keluarga serta lawatan bersifat akademik seperti ke Geopark Discovery Center, Balai Seni dan Laman Padi.

MOTAC turut memaklumkan senarai itu bakal diumumkan secara lebih terperinci tertakluk kepada perubahan semasa.

Pada masa sama MOTAC juga sedang menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik untuk seluruh Keluarga Malaysia sebagai menghargai sokongan dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik apabila kebenaran diberikan kelak.

Selain itu MOTAC juga akan sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan beberapa lagi sesi libat urus dengan para penggiat industri pelancongan serta pemegang taruh berkaitan bagi meluaskan gelembung pelancongan ini secara berfasa.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 Sept ini manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.