IPPT USM tandatangan memorandum perjanjian Dengan gano excel industries sdn.bhd. perkukuh kolaborasi bersama industri dalam merawat dan mencegah kanser payudara menggunakan ganoderma lucidium

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 9 months ago on 10 July 2023
Read News

MALAYSIA:

Universiti Sains Malaysia (USM) akan meningkatkan lagi kolaborasi dengan pelbagai pihak untuk memperkasakan agenda masa hadapan.

Menurut wakil Naib Canselor USM Profesor Dr. Habibah A Wahab, melalui perkongsian pintar dengan kepakaran yang ada di universiti dan industri, universiti mampu dapat mencapai kecemerlangan bukan sahaja akademik tetapi juga penyelidikan dalam mencari penawar untuk merawat dan mencegah kanser payudara.

Beliau berucap dalam majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Gano Excel Industries Sdn. Bhd. dengan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM.

Gano Excel Industries Sdn. Bhd. memperuntukkan geran penyelidikan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM325,000.00 untuk kajian percubaan klinikal mengenai "Keberkesanan Ganoderma Lucidum (Gano Plus) terhadap pesakit kanser payudara Tahap II dan Tahap III".

Kajian percubaan klinikal ini akan menggunakan produk Ganoderma Lucidum syarikat yang akan dilakukan ke atas pesakit kanser payudara di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUMSB).

“Saya amat berbesar hati dan menyokong sepenuhnya kolaborasi sebegini di antara penyelidik USM dan pihak Gano Excel Industries Sdn. Bhd., kerana ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), yang menggalakkan kerjasama universiti dan industri melalui penggunaan kepakaran saintifik untuk memanfaatkan kedua-dua pihak serta negara secara keseluruhannya. Saya berharap hasil daripada kajian percubaan klinikal ini akan dapat meningkatkan keberkesanan rawatan serta pencegahan penyakit kanser payudara dalam kalangan wanita dan juga pesakit-pesakit” kata Habibah.

Hadir sama ialah Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (PPUSMB) Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin yang menandatangani dokumen perjanjian sebagai saksi.

Gano Excel Industries Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Encik Leow Soon Seng, Pengarah Eksekutif Encik Leong Ting Yu serta delegasi iaitu Dr. Chong Kwai Hoe, Dr. Alok Nahata dan Puan Lew Swee Lee.

Yang hadir sama menyaksikan penandatanganan MoA ini ialah Dr. Siti Mardhiana Mohamad selaku Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Gokula Kumar A/L Appalanaido, Dr. Rohayu Hami, Dr. Salbiah Isa, Dr. Mohd Yusmaidie Aziz, Dr. Eshaifol Azam Omar dan Dr. Hasmah Hussin yang terlibat dalam kolaborasi ini. Turut hadir Prof. Madya Dr. Hasni Arsad, Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim dan Puan Naziroh Shafii.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.