Muzium Coklat Langkawi dijangka siap pada 2023

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 3 August 2020
Read News

LANGKAWI:

Muzium Coklat Langkawi yang bakal dibangunkan oleh DR Group Holdings dengan kos pembinaan dianggarkan kira-kira RM15 juta, dijangka siap pada 2023.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata perancangan untuk membina muzium tersebut kini masih dalam peringkat lontaran idea awal yang melibatkan kerjasama antara kementerian dan DR Group Holdings.

“Kita juga akan melihat dari segi kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah. Kita telah mendapat persetujuan awal daripada kerajaan negeri. Kita memerlukan tanah seluas kira-kira 0.6 hektar dan pada masa ini, kita telah memiliki tanah seluas 0.24 hektar.


“Kita berharap semua perkara berkaitan cadangan itu dan kelulusannya akan dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan dan projek ini dapat dimulakan pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Chocolate Museum@Kota Damansara, baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan juga dalam perancangan untuk membuka hab coklat di seluruh negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab coklat dunia.

Sektor koko telah mencatatkan pendapatan eksport sebanyak RM6.6 bilion pada 2019 dengan sumbangan sektor hiliran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.6 bilion.

Sektor pembuatan coklat khususnya, mencatatkan pendapatan eksport sebanyak RM1.4 bilion, iaitu 17.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport produk koko pada tahun sama yang meningkat sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini sebanyak RM2.6 bilion iaitu meningkat sebanyak 0.5 peratus bagi tempoh sama pada 2019.

Bagaimanapun, dijangka sumbangan pendapatan eksport produk coklat akan merosot sebanyak 18 peratus pada tahun ini berikutan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setakat ini, terdapat sebanyak 53 syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko terdiri daripada empat syarikat multinasional dan 49 syarikat tempatan di seluruh negara.

Bagi memperkasakan industri pembuatan coklat, kementerian telah memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Coklat Lembaga Koko pada 2013.

Sehingga Julai, sebanyak 224 usahawan telah dibimbing di bawah program tersebut.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.