Pembangunani Pulau Poh, Tasik Kenyir bakal merancakkan industri pelancongan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 4 February 2022
Read News

KUALA TERENGGANU:

Pembangunan beberapa projek yang giat dijalankan di Pulau Poh, Tasik Kenyir bakal merancakkan industri pelancongan di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara.

Pembinaan hotel bertaraf tiga bintang di Pulau Poh yang menawarkan 150 bilik itu tentunya menarik mampu menarik lebih ramai pelancong ke tasik yang berkeluasan 38,000 hektar itu.


Selain itu, kewujudan lebih 10 ruang niaga di Marina Dome serta Jambatan Pulau Poh antara tarikan terbaharu yang bakal membuka lembaran baharu industri pelancongan di tasik berkenaan.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) Burhanuddin Hilmi berkata, pihaknya optimis untuk membangunkan kawasan berkenaan.

Beliau berkata, segala pembangunan yang giat dijalankan itu bagi memberi nilai tambah kepada Tasik Kenyir yang sememangnya sudah terkenal sebelum ini.

"Banyak yang kita lakukan untuk merancakkan Tasik Kenyir terutama di sekitar Pulau Poh dan sebagai contoh pembinaan hotel lapan tingkat dengan 150 bilik itu adalah usaha kita untuk menyediakan lebih banyak penginapan bagi keselesaan pengunjung.

"Kita jangka hotel ini dapat beroperasi pada pertengahan Jun ini dan ketika ini, kita sedang menyiapkan dokumen permohonan mengemukakan cadangan (RFP) untuk beberapa syarikat yang berminat untuk masuk menguruskan hotel ini," katanya.

Menurut Burhanuddin Hilmi lagi, pembinaan jeti baharu di Pulau Poh membolehkan lebih 1,000 pengunjung berada pada satu-satu masa selain memisahkan jeti untuk aktiviti island hoping dan rumah bot.

Katanya, pihaknya juga sedang giat melakukan kerja baik pulih taman tema air sedia ada selain merancang pelbagai program termasuk menyediakan aktiviti belon udara panas yang mungkin akan dijadikan antara tarikan terbaharu di sini.

"Kita akan cuba bawa masuk sebanyak mungkin program di sini dengan sasaran sekurang-kurangnya dua aktiviti besar di sini dalam setiap bulan," katanya.

Menurut Burhanuddin Hilmi lagi, perkembangan industri pelancongan di kawasan Pulau Poh tentunya memberi limpahan ekonomi penduduk di daerah ini khususnya di sekitar kawasan Tasik Kenyir apabila pelbagai projek yang dilaksanakan akan memberi keutamaan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada penduduk setempat dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi dan sosial mereka.

Katanya, langkah itu seiring dengan objektif kerajaan negeri dibawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) untuk memastikan sebarang pembangunan yang dilakukan memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

"Sebagai contoh, kita ada lebih 10 ruang niaga di sini (Marina Dome) dan keutamaan akan diberikan kepada penduduk tempatan selain kita akan memastikan perniagaan di sini tidak bertembung atau menjual makanan atau barangan yang sama.

"Apa yang ada di sini kita akan buka kepada komuniti dan keutamaan ini termasuk menyediakan pekerjaan kepada penduduk di daerah ini khususnya di sekitar Tasik Kenyir termasuk pekerjaaan di dalam bidang perhotelan nanti," katanya.

Dalam pada itu, Burhanuddin Hilmi berkata, pihaknya turut memastikan segala kemudahan yang ada di Tasik Kenyir khususnya di sekitar Pulau Poh mesra kepada golongan kurang upaya (OKU) dan warga emas bagi memudahkan golongan sasar itu melancong di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan infrastruktur seperti tandas dan laluan khas disediakan supaya golongan berkenaan dapat menikmati keindahan dan melakukan aktiviti di Pulau Poh, Tasik Kenyir.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.