Selangor Tumpuan Destinasi Pelancongan Kesihatan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 8 months ago on 21 January 2022
Read News

SELANGOR:

Tidak dapat disangkal lagi, industri pelancongan kesihatan di Negeri Selangor berada di kelasnya yang tersendiri. Terdapat banyak sebab mengapa Negeri Selangor merupakan destinasi yang ideal untuk pelancongan kesihatan, tidak hanya di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara. Tambahan pula, rawatan perubatan di Negeri Selangor amat menitik-beratkan faktor kualiti perkhidmatan dan penjagaan pesakit. Tidak dilupakan juga penekan terhadap prosedur keselamatan dan undang-undang kesihatan dan perubatan yang menjadi tunjang dalam industri ini. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang segmentasi pelancongan kesihatan di Negeri Selangor.

Aktif dalam Memperluas Industri Pelancongan Kesihatan

Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang giat memperkasa segmentasi pelancongan kesihatan terutamanya di Negeri Selangor. Terdapat 46 hospital di Negeri Selangor yang turut diiktiraf oleh pihak MHTC seperti Sunway Medical Centre, Subang Jaya Medical Centre, Hospital Thomson, ReGen Rehab dan banyak lagi. Sehingga kini, pihak MHTC sedang giat menggerakkan usaha ke arah mewujudkan hubungan pasaran yang kukuh di rantau Asia Tenggara (ASEAN) dan Timur Tengah. 

Penjagaan Kesihatan Bertaraf Dunia

Rawatan perubatan yang disediakan oleh pihak hospital atau institusi kesihatan di Negeri Selangor adalah setanding dengan negara-negara luar yang maju. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh hospital-hospital di Selangor adalah berkualiti dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain. Selain itu, para doktor dan Pakar Perubatan di Negeri ini juga terlatih dan berkelulusan tinggi, dengan rata-rata daripada mereka telah menjalani latihan di hospital di negara luar seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. 

Kos Perubatan yang Murah

Bukan sahaja menawarkan rawatan perubatan yang berkualiti tinggi, namun ia juga ditawarkan dengan harga yang sangat berpatutan. Sekiranya dilihat dengan lebih teliti, kebanyakan Negara mempunyai kos rawatan perubatan yang sangat tinggi. Oleh kerana kos rawatan di Selangor yang berpatutan, anda dan keluarga boleh melawat ke beberapa destinasi pelancongan yang terdapat di Negeri ini sepanjang tempoh rawatan. 

Kenali Budaya Tempatan  

Seperti kebanyakan Negara Asia yang lain, rakyat Malaysia juga antara yang sangat mesra orangnya. Perkhidmatan yang mesra dan suasana yang tenang menjadikan rawatan di sesebuah hospital atau Pusat Kesihatan menjadi lebih menyenangkan. Selain itu, faktor perbezaan bahasa bukanlah penghalang untuk pesakit mendapatkan rawatan di Negeri Selangor kerana komunikasi dalam Bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas. Bukan itu sahaja, pesakit juga boleh mengetahui keunikan kepelbagaian budaya yang terdapat di Negeri ini. 

Banyak Tempat Menarik untuk Dilawati

Negeri Selangor mempunyai kelebihan dalam sektor pelancongan kesihatan di mana bukan sahaja ianya mempunyai senarai hospital dan Pusat Kesihatan yang bertaraf dunia, Negeri ini juga merupakan destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai tempat menarik untuk dilawati. Sambil mendapatkan rawatan di Negeri ini, anda juga boleh luangkan masa anda untuk terokai tarikan yang unik yang terdapat di kawasan sekitar seperti Sunway Pyramid, Pekan Sekinchan, Zoo Negara, Batu Caves, Taman Alam Kuala Selangor, Sky Mirror, Bukit Malawati, Miysui Outlet Park, i-City, Bukit Jugra, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dan banyak lagi! 

Negeri Selangor sememangnya menawarkan perkhidmatan rawatan perubatan yang berkualiti tinggi. Dengan adanya teknologi canggih masa kini, tentunya rawatan yang lebih holistik dapat diberikan kepada para pesakit di Negeri ini. Anda boleh dapatkan rawatan perubatan yang diingini di 46 hospital yang berdaftar dengan pihak MHTC. Kualiti perubatan bertaraf dunia, mampu milik dan mudah diakses terus menjadi elemen penting dalam menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang komprehensif di rantau Asia Tenggara.

Namun, adalah diingatkan kepada pelancong untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.

 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.