Syarikat penerbangan diarah selesaikan isu teknikal secepat mungkin

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 5 days ago on 11 May 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

Kementerian Pengangkutan mengarahkan syarikat penerbangan yang berdepan isu kelewatan dalam perkhidmatan mereka, supaya menyelesaikan isu teknikal yang dihadapi dengan secepat mungkin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pihaknya juga meminta syarikat penerbangan terbabit sentiasa menyampaikan maklumat kepada penumpang bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi.

"Kementerian dan agensi bawahnya akan terus memantau setiap perkhidmatan penerbangan bagi memastikan prosedur penyelenggaraan serta isu teknikal dipatuhi tanpa kompromi.

"Pihak berkuasa juga sudah menegur syarikat berkaitan bagi memastikan pematuhan peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan, serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal berbuat demikian.

"Adalah penting untuk syarikat penerbangan menambah baik saluran komunikasi dengan penumpang dan pelanggan bagi memastikan mereka menerima maklumat berhubung status penerbangan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, penumpang syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, dilapor meluahkan perasaan tidak puas hati dalam media sosial apabila pesawat yang sepatutnya dinaiki mereka didakwa lewat tiba dari masa ditetapkan.

Malah, ada penumpang dikatakan terpaksa menunggu lama di lapangan terbang berikutan pihak AirAsia didakwa membuat penjadualan semula bukan hanya sekali tetapi berulang kali untuk penerbangan yang sama.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kerajaan bersimpati dengan nasib penumpang yang mengalami kesulitan, dan berusaha untuk menyelesaikan masalah itu dengan syarikat penerbangan.

"Kebanyakan aduan dibuat adalah berkait trafik penumpang yang lebih tinggi daripada biasa ketika musim perayaan sehingga syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya pesawat mereka untuk memenuhi permintaan.

"Pesawat yang menghadapi masalah teknikal juga sudah 'direhatkan' daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan yang lebih teliti," katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, semua aduan berkaitan penjadualan semula dan kelewatan penerbangan sudah dipulihkan.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.