Syarikat penerbangan perlu mengemukakan permohonan untuk penerbangan tambahan ke Sarawak memandangkan permintaan tinggi berikutan sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata permohonan itu boleh dibuat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk pertimbangan.
"Buat masa ini, syarikat penerbangan juga diingatkan supaya tidak menaikkan harga tiket mereka.
"Sarawak telah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), pergerakan rentas negeri juga dibenarkan, maka kita menjangkakan lebih banyak sektor ekonomi dibuka dengan pergerakan individu dan barangan di seluruh negeri yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan.
Pada 31 Dis tahun lepas, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan kerajaan bersetuju supaya Sarawak beralih ke Fasa Empat PPN pada 3 Jan selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sementara itu, Lee berkata Scoot Tigerair yang sepatutnya memulakan penerbangan sulungnya antara Singapura dan Miri pada 19 Jan ini, masih menguruskan beberapa perkara dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), justeru penerbangan pertama itu akan dimulakan kemudian.
Mengenai perkembangan lain, Lee berkata kementeriannya akan melakukan lawatan ke Kementerian Pengangkutan dan ibu pejabat agensi berkaitan pengangkutan lain di Kuala Lumpur untuk menjalin hubungan rapat dengan rakan sejawatan Persekutuan itu.
"Kami berharap melalui pertemuan ini, kita akan lebih mengenali antara satu sama lain dalam kalangan pihak berkepentingan negeri dan Persekutuan yang penting untuk memudahkan dan menyelesaikan isu berkaitan industri pengangkutan di negeri ini dengan cekap," katanya.
- TAGS / KEYWORDS: