MOTAC ambil berat SOP kemasukan pelancong asing

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 10 January 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengambil langkah berhati-hati dalam menerima semula kehadiran pelancong asing, sejajar usaha mengekang penularan COVID-19.

Ketika ini, pelancong asing hanya dibenar mengunjungi Malaysia menerusi inisiatif Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LTIB).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata mereka tetap tertakluk syarat dalam prosedur operasi standard (SOP) LTIB iaitu wajib lengkap vaksinasi.

Katanya, isu pengembara asing tiada rekod lengkap vaksinasi ataupun menipu status tidak sepatutnya berbangkit kerana mereka wajib menggunakan syarikat pelancongan berdaftar dengan MOTAC.

"Saya yakin syarikat pelancongan kita melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya iaitu memastikan semua syarat dalam SOP dipatuhi.

"Mereka juga bersama-sama MOTAC berusaha memastikan kejayaan LTIB dan tidak mahu menanggung kesan kerugian ketiadaan sumber pendapatan yang dilalui hampir dua tahun sekiranya projek rintis ini dibatalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pakar perubatan bahawa ada pengembara luar dibenar memasuki Malaysia namun terikat dengan kuarantin dan menginap di hotel atas tanggungjawab sendiri.

Nancy berkata, pengusaha syarikat pelancongan dalam sesi libat urus bersama MOTAC menyatakan akan terus komited untuk bangkit memulihkan ekonomi negara menerusi pelancongan dan kebudayaan.

"Dakwaan pengembara masuk tanpa vaksinasi dan kuarantin di hotel atas tanggungan sendiri adalah tidak berasas kerana pelancong yang menggunakan LTIB diwajibkan mempunyai rekod dos vaksinasi lengkap.

"Pelancong berumur bawah 17 tahun tidak wajib mempunyai vaksin berikutan bukan semua negara memberikan vaksinasi kepada golongan itu," katanya.

Menerusi SOP LTIB, katanya, ibu bapa atau penjaga lengkap vaksinasi yang mengembara bersama tanggungan bawah 17 tahun bertanggungjawab sepenuhnya.

Beliau menegaskan, dalam SOP LTIB, pengembara berusia 17 tahun ke bawah yang tidak lengkap divaksinasi boleh menggunakan LTIB, dengan syarat mengembara bersama ibu bapa atau penjaga mereka yang lengkap divaksinasi.

Nancy berkata, SOP LTIB tidak berubah iaitu pelancong asing diwajibkan menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA).

Katanya, mereka hanya dibenarkan meneruskan perjalanan ke Langkawi sekiranya ujian negatif dan mereka yang terus masuk menerusi Langkawi tidak perlu menjalani kuarantin.

"Sepanjang di Langkawi dengan minimum tujuh hari, mereka perlu menjalani ujian menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen sehingga hari keenam, dengan hari ketiga dan kelima dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Bagi hari kedua, keempat dan keenam, ujian boleh dilakukan sendiri dan dikemas kini dalam MySejahtera," katanya.

Selepas tujuh hari dan semua ujian negatif, beliau berkata, mereka boleh mengembara ke seluruh negara.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.