Fokus Malaysia jadi destinasi ekopelancongan pilihan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 28 January 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

Malaysia mencatatkan ketibaan lapan juta pelancong ke negara ini sepanjang tahun lalu berbanding 26 juta orang pada 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata meskipun COVID-19 mengubah landskap pelancongan di seluruh dunia termasuk menyebabkan penurunan ketibaan pelancong di negara ini, tetapi ia membolehkan Malaysia mengalih fokusnya menjadi destinasi ekopelancongan pilihan dunia.

Beliau berkata, langkah ini juga seiring perubahan pilihan produk dan destinasi pelancongan melalui kajian dilakukan Tourism Malaysia membabitkan pelancongan domestik.

"Meskipun pandemik ini membawa cabaran, tetapi ia memberi kita masa berfikir dengan serius apa yang menjadikan Malaysia unik.

"Seiring Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, saya juga melihat usaha keras pemain tempatan mengubah suasana pelancongan negara termasuk dengan memaksimumkan penggunaan platform digital untuk perkhidmatan dan produk mereka," katanya pada Majlis Pelancaran Video Dream Malaysia melalui kerjasama Tourism Malaysia dan GoPro Malaysia di Hotel EQ.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Ramlan Ibrahim; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Pengurus GoPro Asia Tenggara, Sangeet Singh.

MOTAC melalui agensinya, Tourism Malaysia bekerjasama dengan GoPro bagi mempromosikan keindahan kehidupan dan destinasi di Malaysia menerusi pembikinan video Dream Malaysia.

Nancy berkata, Dream Malaysia menyaksikan gabungan kerjasama yang memfokuskan kepada pendigitalan dalam menyemarakkan industri pelancongan negara.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.