Penangguhan umrah berkuat kuasa sebulan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 6 January 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

Kerajaan menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan berkuat kuasa 8 Januari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu diambil untuk memberi laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap beberapa perkara, khususnya membabitkan prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, perbincangan sepanjang tempoh penangguhan ibadat itu akan turut membabitkan kerjasama Arab Saudi dan Konsulat Malaysia di negara terbabit, sebelum perjalanan umrah kembali dibenarkan.

"Beri peluang untuk kita perketatkan lagi SOP jemaah dari Malaysia, menerusi perbincangan dengan Arab Saudi, agensi pelancongan, kementerian berkaitan dan konsulat di sana.

"Kita akan buka semula (perjalanan umrah) dengan lebih selamat, tetapi bukan sekarang kerana terlalu banyak kes jangkitan COVID-19 terutama varian Omicron," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Khairy berkata antara langkah kemas kini SOP umrah yang akan dilakukan ialah menggariskan pengambilan dos penggalak sebagai syarat keperluan, pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi serta pemantauan status kesihatan jemaah di negara terbabit.

Beliau berkata, tanggungjawab agensi pelancongan atau ejen pengendali pakej umrah akan turut diperkukuhkan bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan jemaah dan petugas, selain melaporkan kes positif dan kontak rapat kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa KKM tidak mengamalkan dasar pilih kasih di sebalik keputusan penangguhan sementara umrah, tetapi ia berdasarkan fakta.

"Saya nak berikan satu kes, yang membabitkan 91 jemaah umrah dari satu ejen pelancongan, dengan 55 daripadanya dikesan positif sewaktu ujian prapelepasan di Arab Saudi, justeru mereka dikuarantin dan diasingkan.

"Seramai 36 kontak rapat daripada kumpulan ini sebaliknya dibenarkan menaiki penerbangan dan pulang ke Malaysia, tetapi 24 pula daripadanya didapati positif ketika ujian ketibaan, dengan empat kes berkemungkinan varian Omicron.

"Walaupun mereka semua mengambil satu pakej umrah sama dan dikategorikan sebagai kontak rapat, tetapi dibenarkan naik pesawat serta balik ke Malaysia," katanya.

Berdasarkan pola jangkitan sedemikian, Khairy berkata pihaknya tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil keputusan untuk menangguhkan sementara kebenaran umrah, apabila ujian saringan pada hari pertama dan kelima merekodkan kadar positif yang tinggi.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.