Thailand kenakan yuran 300 baht kepada pelancong asing mulai April

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 7 months ago on 13 January 2022
Read News

THAILAND:

Thailand merancang mengenakan yuran kemasukan terhadap pelancong asing sebanyak 300 baht (RM38) seorang bermula 1 April, yang akan digunakan bagi membiayai pembangunan lokasi pelancongan tempatan serta sebagai pelan perlindungan insurans.

Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata yuran berkenaan akan dikenakan menerusi tambang tiket penerbangan.

"Bagaimanapun, agensi berkaitan masih belum memutuskan kaedah kutipan yang sesuai bagi kemasukan melalui darat," katanya dalam satu kenyataan.

Thanakorn berkata industri pelancongan dijangka menjana pendapatan antara 1.3 hingga 1.8 trilion baht, termasuk 800 bilion baht daripada pelancong asing.

Beliau berkata berdasarkan situasi semasa, kerajaan mengunjurkan kemasukan lima juta pelancong antarabangsa ke negara itu pada 2022, yang majoritinya daripada Eropah dan Amerika Syarikat.

Jika pelancong China dan India kembali, ketibaan pelancong boleh mencecah sembilan juta, katanya.
"Sementara itu, jika sempadan darat dibuka semula untuk tujuan pelancongan rentas sempadan, ia bakal menarik pelancong dari Malaysia, Laos dan Myanmar, jumlah kemasukan 15 juta pelancong adalah munasabah," katanya.

Thailand telah memperkenalkan pelbagai rancangan dan program termasuk "Test and Go" bebas kuarantin dan "Phuket Sandbox" bagi memulihkan industri pelancongannya.

Sektor pelancongan Thailand terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dengan hanya kira-kira 200,000 ketibaan direkodkan pada tahun lepas berbanding hampir 40 juta pengunjung pada 2019 dan 6.7 juta pada 2020.

Bank Pusat Thailand mengurangkan prospek ketibaan pelancong asing untuk 2022 daripada 6 juta kepada 5.6 juta.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.