Industri Tuna Negara Bakal Dikembangkan Melalui Pelan Strategik 2020-2030

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 25 June 2020
Read News

SERDANG :

Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2020-2030 sedang disediakan bagi mengembangkan industri perikanan tuna sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi.

Beliau berkata pelan itu mengandungi 10 strategi dan inisiatif pembangunan dan pengurusan industri tuna negara.

“Sehingga 2019, sebanyak 17 buah vesel (kapal) penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier telah dilesenkan dan beroperasi di Lautan Hindi dengan hasil tangkapan sebanyak 2,760.60 tan metrik dengan nilai anggaran RM35 juta,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program promosi produk tuna kepada petugas barisan hadapan COVID-19 di MAEPS, di sini, hari ini, yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Menurut Munir, industri tuna di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu tuna oseanik yang boleh didapati di lautan antarabangsa atau Sabah dan Labuan; dan tuna neritik adalah spesis bersaiz kecil yang ditangkap dalam negara di kawasan zon ekonomi ekslusif (ZEE).

Pelabuhan Pulau Pinang dan Langkawi telah disenaraikan Jabatan Perikanan sebagai pelabuhan pendaratan tuna oleh kapal-kapal yang beroperasi di Lautan Hindi, katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, sebanyak 5,000 cucuk sate tuna diagihkan kepada petugas hadapan yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di MAEPS sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada mereka yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam menangani pandemik itu.

Menurutnya, sate tuna ialah produk inovasi Jabatan Perikanan yang diperkenalkan semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2016.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.