PAT2021 acara yang ditunggu pelancong diadakan secara dalam talian

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 5 June 2021
Read News

KANGAR:

Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2021 yang tidak dapat dianjurkan secara fizikal tahun ini akibat COVID-19, diadakan secara dalam talian dan dikenali sebagai PAT2021@online.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, PAT merupakan acara tahunan yang sentiasa ditunggu kerana kemeriahan dan keunikan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan, menjadi buah mulut pelancong tempatan dan luar negara.

"Ia merupakan satu landasan cerminan kehidupan dan budaya rakyat di negeri ini, yang telah diperkenalkan sebagai salah satu produk pelancongan yang mampu menjana ekonomi masyarakat tempatan.

"PAT Perlis yang telah memasuki tahun kesembilan penganjurannya, merupakan sebahagian program di bawah kalendar pelancongan budaya atau 'cultural tourism' di mana motivasi pengunjung adalah untuk mengalami dan mempelajari keunikan seni budaya setempat," katanya ketika berucap di perasmian PAT yang disiarkan menenerusi laman Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) TV pada Jumaat.

PAT2021@online disiarkan secara dalam talian selama dua hari bermula semalam.

Beliau berkata, pada tahun lepas (2020) PAT Perlis telah mencatatkan peningkatan iaitu pulangan pendapatan berjumlah RM492,000 dengan kehadiran seramai 127,160 orang, berbanding RM481,000 dan 112,272 orang pada tahun 2019.

"Dengan tag-line 'mai pakat mai, pakat jengok ramai-ramai', saya ingin menyeru supaya kita bersama-sama menjadi warga Malaysia yang bertanggungjawab, dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man meminta penggiat seni dan budaya menguna sebaik mungkin platform ini, bagi memasarkan produk mereka termasuklah produk seni persembahan.

"Kita berharap melalui segmen jualan produk secara langsung atau 'Kedai Pat', kita akan dapat juga menjana sedikit sebanyak kepada ekonomi masyarakat setempat, dengan mengambil pendekatan 'ala GoShop', pengusaha barangan kraftangan, makanan perlis, produk kecantikan, pakaian wanita dan sebagainya, boleh memasarkan hasil jualan mereka secara langsung, di saluran JKKN TV ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bercadang menyediakan lokasi tetap bagi penganjuran pesta angin timur pada masa akan datang.

"Lokasi yang dicadangkan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas, bagi keselesaan pengunjung nanti. Ini merupakan manifestasi bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, dalam penganjuran program berskala besar di masa-masa akan datang," katanya.

Antara persembahan kebudayaan yang disiarkan hari ialah, persembahan hadrah, tarian terinai, Awang Batil,tarian canggung, gendang silat, gendang panjang (gendang Siam) dan gendang 24 musim.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.