Semua agensi perlu lapor aktiviti kepada Langkawi Task Force

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 13 September 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Setiap agensi di Pulau Langkawi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun serta persatuan-persatuan yang diberi peranan dalam menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi perlu melaporkan aktiviti mereka kepada jawatankuasa Langkawi Task Force.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana semua yang terlibat itu akan diberi peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam projek rintis gelembung pelancongan itu.

"Alhamdulillah, Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi telah bersetuju untuk mempengerusikan Langkawi Task Force yang bertujuan menjayakan projek rintis tersebut.

"Beberapa petunjuk prestasi bagi kesihatan telah dicadangkan dan akan diperhalusi di peringkat jawatankuasa," katanya dalam hantaran menerusi laman sosialnya pada Ahad.

Beliau berkata, antara perkara yang bakal diperhalusi itu termasuk nilai ambang tertentu kes Covid-19 harian baharu serta kemampuan kapasiti kesihatan awam, kluster baharu berkaitan aktiviti gelembung pelancongan selain kapasiti katil wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Maliha.

Noor Hisham bersama delegasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum itu hadir ke Mesyuarat Penyelarasan Gelembung Pelancongan Langkawi yang diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), bersempena dengan pengumuman kerajaan mengenai pemilihan pulau itu sebagai projek rintis destinasi gelembung pelancongan domestik mulai 16 September.

Antara agensi lain yang hadir secara maya ialah Pejabat Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi, Malaysia Airports Holdings Bhd, Majlis Keselamatan Negara serta agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Hadir sama adalah pihak Hospital Sultanah Maliha, Pejabat Penerangan, Pejabat Agama Daerah Langkawi, Tourism Malaysia dan Akademi Pelancongan Langkawi.

"Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan Langkawi dan peranan antara agensi dalam penguatkuasaan kepatuhan SOP berkaitan," katanya.

Beliau sekali lagi menyeru semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi supaya memastikan mereka telah lengkap divaksinasi, kekal mematuhi SOP dan sentiasa mengamalkan norma baharu. 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.