Teknologi digital pendekatan efektif adakan program seni dan budaya

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 19 February 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Penggiat seni di negara ini digesa memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital dan media sosial untuk terus berkarya, sekali gus menyemarakkan industri itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini kerana platform itu merupakan pendekatan paling efektif untuk menyebarkan maklumat serta mengadakan program berkaitan seni dan budaya ketika negara mendepani pandemik COVID-19.

“Saya amat berharap para penggiat dan pemain industri seni budaya tidak berputus asa dan dapat menerima serta menyesuaikan diri mengikut norma baharu dalam melaksanakan aktiviti seni dan budaya.

‘’Ini merupakan adaptasi baharu yang perlu diterima serta diamalkan dalam usaha memastikan industri ini terus berjalan,” katanya ketika berucap di majlis Apresiasi Seni 2021 yang siarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Beliau berkata kementerian itu dan agensi di bawahnya termasuk JKKN turut menyusun semula pelbagai program serta aktiviti dengan pelaksanaannya akan disesuaikan mengikut situasi semasa negara.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Ketua Pengarah JKKN Mesran Mohd Yusop.

Nancy berkata pihaknya juga akan memanfaatkan  penggunaan teknologi digital serta media sosial untuk terus membantu pemain industri yang terjejas oleh COVID-19, menerusi pelaksanaan program berkaitan seni dan budaya secara maya.

‘’Kejayaan JKKN pada tahun lepas dalam melaksanakan sebanyak 266 aktiviti dan program yang kebanyakannya secara maya telah memberi keyakinan bahawa sasaran sebanyak 279 program (secara maya) dapat dilaksanakan tahun ini.

‘’Malah, berdasarkan statistik laporan media sosial, program dalam talian JKKN sepanjang 2020 telah diterima baik dan mendapat maklum balas positif daripada masyarakat serta penggiat seni budaya dengan rekod jumlah penonton yang menyaksikan program itu ialah sebanyak 4,020,792 juta penonton,’’ katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada tahun ini JKKN turut memperuntukkan RM300,000 untuk disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program pembangunan seni dan budaya negara menerusi bantuan Insentif Seni-Kewangan jabatan itu.

Nancy berkata tawaran bantuan itu akan dibuka sebanyak tiga kali kepada NGO yang berminat iaitu bermula akhir bulan ini , Jun dan September.

‘’Ini merupakan sebahagian daripada usaha kita yang sentiasa komited membantu dan memberi sokongan kepada para penggiat dan pemain industri untuk merancakkan lagi industri seni dan budaya negara,’’ katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.