Beserah berpotensi jadi lokasi penggambaran

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 27 September 2020
Read News

KUANTAN :

Kawasan Beserah yang terletak di sepanjang pesisir pantai berhampiran bandar Kuantan, berpotensi diketengahkan sebagai lokasi penggambaran drama atau filem, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah. 

Beliau berkata antara kekuatan Beserah yang terletak dalam kawasan Perlimen Indera Mahkota ialah kombinasi kampung tradisi dan kampung nelayan dengan penduduknya masih mengamalkan cara hidup unik dan mengekalkan amalan lama seperti semangat gotong-royong. 

"Elemen tempatan seperti ini perlu diketengahkan kerana ia penuh dengan nilai perpaduan yang dapat mengukuhkan hubungan. Saya melihat ada beberapa lokasi sekitar Beserah sesuai untuk penggambaran filem atau drama di bawah pengawasan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). 


"Perkara seperti ini (elemen tempatan) memang bukan berita sensasi, namun untuk penggambaran drama atau dokumentari, perkara ini adalah unik dan boleh diketengahkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mengacau Bubur Asyura di Masjid Jamek Beserah di sini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata selain Beserah, terdapat satu lagi lokasi yang sesuai diperkenalkan sebagai destinasi pelancongan iaitu Pulau Ular di Kampung Sungai Ular di sini, yang akan dilawati beliau dalam masa terdekat. 

Selain itu, Saifuddin berkata tumpuan juga akan dibuat bagi mempromosikan Cherating sebagai kawasan inap desa, selepas aspek pelancongan di situ terjejas ekoran pandemik wabak COVID-19. 

Beliau melihat kegiatan penggambaran dan pelancongan, apabila diusahakan secara baik dan tersusun boleh membantu membawa limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang turut serta meninjau potensi Beserah berkata, pihak produksi sering mencari lokasi baharu untuk diketengahkan dan kawasan itu yang mempunyai perkampungan, hutan, laut dan pulau boleh menjadi daya penarik kepada syarikat produksi. 

"Pemilihan Beserah sebagai lokasi juga adalah satu bentuk promosi selain membuka peluang kepada penduduk yang mengusahakan perniagaan seperti inap desa dan katering. Keunikan yang ada di sini juga boleh diuar-uarkan kepada syarikat produksi antarabangsa yang boleh memilih kawasan ini apabila sempadan negara dibuka semula. 

"Kedudukannya yang hampir dengan bandar selain kemudahan yang sudah sedia ada boleh menjadi nilai tambah kepada syarikat produksi untuk memilih Beserah sebagai lokasi penggambaran mereka," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.