Malaysia lokasi pilihan firma ASEAN berkembang

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 20 July 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Malaysia adalah destinasi pengembangan disukai oleh syarikat ASEAN yang meninjau peluang pertumbuhan di rantau ini, demikian menurut kaji selidik terbaru Standard Chartered (StanChart).

Menerusi 'Perniagaan Tanpa Sempadan: Koridor Intra-ASEAN', laporan strategik yang meneroka peluang berpotensi tinggi untuk pertumbuhan rentas sempadan di rantau ini, StanChart berkata, 49 peratus responden kajian memilih Malaysia sebagai salah satu negara yang menawarkan peluang pengembangan terbaik di Blok 10 negara itu dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Laporan itu juga menunjukkan automotif, penjagaan kesihatan dan digital sebagai sektor pertumbuhan utama bagi Malaysia.

"Negara ini telah mula melangkah untuk mengembangkan kemampuan memacu pertumbuhan dalam segmen kenderaan elektrik dan bekalan pusat data.

"Malaysia juga dilihat sebagai peneraju hab pengeluaran peranti perubatan terkemuka dan peneraju pasaran serantau dalam pelancongan perubatan," kata StanChart dalam satu kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan, kaji selidik itu menunjukkan bahawa sebahagian besar syarikat ASEAN yang memberi tumpuan dalam peluang intra-rantau menjangkakan pertumbuhan perniagaan yang kukuh di rantau ini dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan 99 peratus responden menjangkakan pertumbuhan dalam pengeluaran dan 96 peratus menjangkakan pertumbuhan pendapatan.


Akses kepada pasaran pengguna ASEAN yang besar dan berkembang; akses kepada pasaran global menerusi rangkaian perjanjian perdagangan bebas dan ketersediaan tenaga kerja yang banyak serta berkemahiran adalah antara pemacu terpenting untuk pengembangan di seluruh rantau ini, mengikut kaji selidik itu.

Di samping itu, dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan ke dalam ASEAN, semua responden berkata bahawa mereka merancang untuk meningkatkan pelaburan mereka dalam tiga hingga lima tahun ke depan, katanya.

Di ASEAN, Malaysia adalah hab utama untuk pelaburan, menjadi sumber ketiga terbesar pelaburan langsung asing intra-ASEAN pada 2019.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.