Carsome wujudkan institusi teknikal pertamanya di Malaysia

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 4 years ago on 8 January 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu yang terbesar di Asia Tenggara menubuhkan institusi teknikal pertamanya di Malaysia dengan menawarkan peluang pendidikan teknikal dan kerjaya yang terjamin kepada belia Malaysia.

Menurutnya, Akademi Carsome ialah pusat latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Dengan menawarkan program latihan berorientasikan industri yang menggabungkan latihan institusi dan tempat kerja, pelajar akan melaksanakan 30 peratus pelajaran teori di Akademi Carsome, diikuti 70 peratus latihan industri di mana-mana pusat pemeriksaan Carsome di Malaysia.

“Akademi Carsome turut menjanjikan pekerjaan di Carsome selepas tamat pengajian,” katanya dalam kenyataan.

Pengasas Bersama Carsome dan Pengarah Akademi Carsome Teoh Jiun Ee berkata Akademi Carsome merupakan inisiatif pembangunan modal insan yang menyasarkan kewujudan impak sosial yang positif ke atas komuniti tempatan di lokasi Carsome beroperasi.

“Kami mahu mewujudkan tenaga kerja teknikal yang beusaha mencapai piawaian terbaik dalam profesionalisme dan etika untuk membangunkan industri kereta terpakai di Asia Tenggara pada masa depan dengan cara bermakna dan layanan lebih baik kepada pelanggan. 

“Carsome telah menubuhkan platform yang dipercayai sejak bertahun-tahun, yang kami banggakan. Kini, kami mahu berkongsi kebanggaan ini dengan lebih ramai pihak yang bekerja dalam industri ini menerusi latihan dan penilaian yang diiktiraf dan diperakui industri dengan dilengkapi alatan digital terbaik yang ada,” kata Teoh.

Carsome berkata sebagai platform e-dagang kereta bersepadu yang pertama menyediakan kursus dan pensijilan kemahiran, Akademi Carsome komited untuk mewujudkan tenaga kerja yang mampan dalam industri automotif.

Ia dicapai menerusi latihan industri selama 1,840 jam untuk membangunkan kumpulan kemahiran teknikal pelajar dan memperkukuhkan keupayaan mereka.

Pada masa ini, Akademi Carsome menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (layak dipandu di jalan raya) yang diiktiraf kerajaan Malaysia dan industri teknikal.

Pengambilan pertama yang bermula Februari 2021 kini dibuka untuk pendaftaran untuk rakyat Malaysia di bawah 30 tahun dengan kelulusan minimum dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Kursus selama setahun itu membabitkan kos RM8,000 dan dipulangkan sepenuhnya selepas berjaya dalam penempatan dan tempoh bersama Carsome.

Pinjaman pengajian turut disediakan kepada pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian mereka di akedemi itu.

“Dengan visi untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan pekerja yang bersedia dalam industri di Asia Tenggara, Akademi Carsome akan terus memperkenalkan lebih banyak kursus pada masa akan datang untuk mewujudkan lebih banyak profesional teknikal yang serba boleh dalam industri automotif.

"Akademi Carsome turut meneroka kerjasama dengan pelbagai penggiat indusri automotif untuk menyediakan pengalaman pembelajaran dan praktikal yang terbaik serta peluang pekerjaan kepada pelajar,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.