Dana Galakan Melancong disambung semula

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 13 April 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Kerajaan menerusi Tourism Malaysia akan meneruskan pemberian Dana Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN) untuk kempen promosi dan pemasaran sektor pelancongan dalam dan luar negara bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata program GAMELAN yang diperkenalkan pada 9 Julai 2019 dengan peruntukan RM5 juta, ditangguhkan pada tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.

Kementerian Kewangan meluluskan penyambungan semula peruntukan khas program GAMELAN yang masih berbaki RM3.08 juta bagi kegunaan program sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, garis panduan GAMELAN juga ditambah baik bersesuaian dengan norma baharu pasca COVID-19 bagi mengaktifkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya yang terjejas teruk dengan mengambil kira aspek promosi pelancongan secara digital.


"Turut dipinda ialah siling peruntukan untuk setiap syarikat yang dinaikkan daripada RM200,000 ke RM300,000. Bagi promosi dalam dan luar negeri, juga masing-masing dinaikkan kepada RM20,000 dan RM30,000," katanya dalam kenyataan.

Nancy berkata, prosedur permohonan dan pembayaran juga akan dipermudah dengan mengambil kira pelaksanaan lebih sesuai berdasarkan situasi semasa antaranya membabitkan aktiviti promosi digital seperti penyertaan pameran pelancongan dan misi jualan secara maya.

Pihak yang layak memohon GAMELAN ialah agensi dan persatuan pelancongan berdaftar, pengusaha penginapan, persatuan beli-belah, pelancongan berasaskan komuniti, kelab atau persatuan yang mempromosikan produk minat khas (niche) serta aktiviti pelancongan berkaitan.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.