Gua Tepadung simpan kisah unik etnik Ida'an

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 27 December 2021
Read News

SABAH:

Gua Tepadung berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi ekopelancongan wajib dikunjungi sekali gus membantu meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan Segama.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata Gua Tepadung adalah kawasan penempatan purba etnik Ida'an yang mempunyai pelbagai kisah menarik.

Gua itu terletak di Ulu Sungai Segama dan hanya mengambil masa antara 30 minit hingga dua jam perjalanan menaiki bot bergantung kepada keadaan kedalaman air Sungai Segama.

"Terdapat hampir 100 gua-gua kecil dalam Batu Tepadung ini yang mempunyai tarikan dan pemandangan berbeza antara satu sama lain.

"Gua warisan ini memiliki tarikan tersendiri yang pastinya mampu meletakkan Lahad Datu sebagai destinasi mesti dilawati sekiranya berkunjung ke pantai timur Sabah," katanya dalam kenyataan.

Nancy berkata, kisah lagenda buaya yang dikenali sebagai tarung gari dan burung purba garuda dan ular besar atau naga dengan masyarakat setempat adalah antara pelbagai cerita warisan turun temurun masyarakat etnik Ida'an.

"Semasa era pendudukan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British atau di kenali juga sebagai British North Borneo Chartered Company di Segama pula, gua Tepadung adalah pusat pengeluaran hasil sarang burung putih yang dijalankan oleh masyarakat Ida'an secara sistem penggiliran warisan turun temurun.

"Aktiviti ini masih dijalankan hingga ke hari ini oleh masyarakat etnik Ida'an termasuk di gua-gua sarang burung lain di Pantai Timur Sabah seperti Gua Madai, Gua Baturung, Gua Segerung dan Gua Tegerung mengikut sistem penggiliran warisan yang diamalkan sejak beribu tahun dahulu," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.