Industri pelancongan perlu bantuan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 31 May 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta kerajaan supaya memastikan beberapa langkah dilaksanakan susulan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun 2021.

Bendahari Kehormat, Faeez Fadhlillah berkata industri dan aktiviti ekonomi yang berkaitan telah mengalami kerugian lebih RM100 bilion secara keseluruhan.

Pada 2020, ketibaan pelancong di Malaysia merosot 83.4 peratus manakala perbelanjaan pelancong susut 85.3 peratus kepada RM12.69 bilion tahun lepas daripada RM86.14 bilion pada 2019, katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata justeru, MATTA berharap kerajaan dapat melakukan beberapa inisiatif untuk meredakan risiko ekonomi berikutan penutupan industri.

Inisiatif itu termasuk moratorium pinjaman automatik bagi peserta industri pelancongan dengan sifar kadar faedah, lanjutan program subsidi upah sehingga akhir tahun serta pembatalan Kursus Peningkatan Pelancongan dan Pengembaraan (TTEC), katanya.

Faeez berkata ejen pelancongan yang terjejas teruk ekoran Perintah Kawalan Pergerakan berterusan dan penutupan sempadan juga memerlukan bantuan kewangan dan hala tuju pemulihan pelancongan yang jelas untuk membangunkan semula industri.

Beliau berkata MATTA menyarankan kerajaan mewujudkan pelan hala tuju pemulihan pelancongan bersama-sama sektor swasta memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk industri ini merancang dan menyusun strategi bagi masa hadapan.

"Ini merangkumi rangka kerja dan jangka masa yang jelas bila sempadan domestik dan antarabangsa boleh dibuka semula, yang secara jelas menggariskan syarat-syarat berkaitan sempadan kita yang mana boleh mula dibuka semula.

"Rombakan besar-besaran ke atas dasar pelancongan termasuk pindaan Akta Industri Pelancongan 1992 serta pembatalan TTEC perlu dilakukan sejajar dengan rangka kerja keseluruhan," katanya.

Beliau berkata MATTA menyokong cadangan Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia bahawa subsidi upah 70 peratus perlu diberikan kepada semua kakitangan yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 dan subsidi 30 peratus (dihadkan pada RM3,000) bagi mereka yang berpendapatan lebih RM4,000.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.