Industri perhotelan rugi lebih RM5 bilion

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 17 June 2021
Read News

MELAKA:

Industri perhotelan Malaysia dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM5 bilion tempoh enam bulan pertama tahun ini berikutan sekatan pergerakan bagi membendung penularan pandemik.

Anggaran itu berdasarkan kadar penghunian rendah iaitu purata 21 peratus pada Januari, 17 peratus pada Februari dan 27 peratus masing-masing pada Mac serta April lalu yang kebanyakannya adalah bagi keperluan kuarantin.

Sementara itu, kadar penghunian pada Mei hanya 18 peratus dan purata bagi bulan ini dijangka di bawah 15 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, berkata sehingga bulan ini, lebih 91 hotel terpaksa menutup sementara operasinya, manakala dua hotel sudah ditutup sepenuhnya.

Beliau berkata, walaupun kadar pengoperasian hotel ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih tinggi sekitar 71 peratus, kebanyakannya hanya bergantung kepada keperluan kuarantin dan tetamu dalam sektor perkhidmatan penting.

"Pengurangan pendapatan ini juga akan mengakibatkan hotel terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos dan kesannya adalah kepada pekerja.

"Dalam tinjauan MAH baru-baru ini, hampir 28 peratus hotel mengurangkan pekerja lebih daripada separuh, manakala 51 peratus melaksanakan pembuangan pekerja.

"Trend ini sangat membimbangkan, memberi isyarat lebih banyak kehilangan tenaga kerja berkemahiran, sekali gus menimbulkan persoalan lebih besar bagaimana industri akan pulih apabila tiba masanya," katanya.

Mengulas lanjut, Lip Seng berkata, sektor perhotelan dijangka kembali pulih pada 2022 menerusi pelaksanaan pelbagai pelan pemulihan.

Beliau berkata, MAH percaya sektor itu lebih bersedia pada 2022 dan mungkin dapat bergerak lebih maju.

Katanya, industri hotel mengunjurkan kadar purata kepenghunian pada 2022 meningkat kepada 35 peratus.

"Walaupun peningkatan yang sedikit dan akan menghasilkan satu lagi tahun kerugian, ia sekurang-kurangnya mencatatkan peningkatan berbanding kini," katanya.

 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.