Jabatan Pelancongan Terengganu pergiat promosi melalui media sosial

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 17 November 2020
Read News

TERENGGANU :

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini bukanlah tempoh 'berbulan madu' untuk Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, sebaliknya ia masa untuk memantapkan lagi promosi produk pelancongan negeri melalui platform media sosial.

Pengarahnya Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata segmen pasaran dalam talian perlu dieksploitasi sepenuhnya untuk terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan sedia ada bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Terengganu, apabila berakhirnya penularan pandemik COVID-19, nanti.

"Jabatan kini sedang mengatur strategi pengisian promosi untuk kandungan pemasaran yang boleh diiklan melalui media sosial seperti YouTube, Facebook dan Telegram seperti mana yang dilakukan ketika PKP pada Mac lepas," katanya.

Katanya, meskipun industri pelancongan di Terengganu ketika ini semakin suram berikutan PKPB selain fenomena Monsun Timur Laut (dari Nov-Mac), strategi promosi yang sama sepanjang PKP sejak Mac lalu akan dilaksanakan dan ditambah baik dalam tempoh PKPB kali ini.

"Strategi promosi pada PKP lepas terbukti berkesan kerana ketika Kerajaan Pusat membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 10 Jun 2020, Terengganu antara tiga negeri yang mencatat jumlah pelancong tertinggi di Malaysia dari Jun hingga Ogos 2020,”.

"Ia dinilai dari kaedah kadar purata penginapan di hotel yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia. Jabatan juga menilai jangka masa tinggal pelancong berada di negeri ini dan juga perbelanjaan mereka sepanjang berada di Terengganu," katanya.

Katanya antara yang dilakukan adalah program “FAM Trip” dengan menjemput lebih ramai penulis blog, pengguna YouTube, pempengaruh media dan Instagram terkenal dan penggiat media sosial tempatan untuk menikmati percutian dan membuat hebahan di media sosial masing-masing.

"Promosi seperti ini sebenarnya lebih berkesan dan dilihat relevan serta mengikuti trend dengan sedikit kos berbanding kaedah konvensional promosi kita sebelum ini.

"Selain itu, kita juga jemput lebih ramai jurugambar untuk merakamkan keindahan, keunikan dan keistimewaan yang ada di Terengganu dan pendekatan ini berjaya menarik minat lebih ramai pelancong untuk merasai pengalaman yang sama," katanya.

Selain itu katanya, jabatan itu juga sentiasa berbincang dengan agensi perhotelan, pemilik produk pelancongan, komuniti setempat dan agensi berkaitan untuk meningkatkan promosi produk dan perniagaan mereka demi merancakkan pelancongan domestik.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.