Kawasan kampung di Terengganu berpotensi tarik pelancong

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 28 July 2020
Read News

KUALA TERENGGANU:

Produk dan lokasi menarik di kawasan kampung jika dibangunkan, mampu menarik kedatangan pelancong ke Terengganu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman.

Katanya, setiap daerah di negeri itu mempunyai keistimewaan tersendiri dengan seni kraftangan, budaya dan makanan tradisi.

Oleh sebab itu katanya, bagi merealisasikan hasrat tersebut, hari ini beliau memperuntukkan sebanyak RM120,000 untuk memajukan sektor pelancongan di sekitar Alur Limbat, di sini, iaitu RM100,000 bagi pembelian bot prototaip, manakala RM20, 000 untuk menaik taraf Dataran Banggol Cempedak sebagai tempat riadah. 


“Saya difahamkan ini adalah bot prototaip pertama yang menggunakan bateri dan dikawal menerusi teknologi canggih seperti i-Pad, tanpa menggunakan bahan bakar seperti petrol atau diesel.

“Bot ini juga mampu menampung kapasiti penumpang seramai 12 hingga 20 orang dan ia akan menjadi tarikan kepada pengunjung yang datang ke DUN Alur Limbat,” katanya ketika ditemui pemberita ketika lawatan ke kawasan sekitar Alur Limbat, di sini.

Tambahnya, pada masa ini terdapat beberapa tarikan sedia ada di kawasan itu termasuk aktiviti berkayak, persembahan dikir barat dan aktiviti memancing.

“Secara tidak langsung, kita boleh jadikan Alur Limbat sebagai laluan pelancongan yang memaparkan keunikan dan keindahan seni, budaya dan warisan negeri, yang mana ia dapat merancakkan lagi penyertaan pelancongan berasaskan komuniti.

“Selain daripada penduduk setempat, kita turut menyasarkan pengunjung luar, yang datang menaiki feri dari Taman Tamadun Islam (TTI) dan bot, mereka boleh singgah di sini (Alur Limbat) ketika melalui jalan sungai,” katanya.

Tambah Ariffin, bagi memastikan keselesaan pengunjung yang datang ke situ, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak, termasuk Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi menaik taraf kemudahan asas seperti tandas awam dan pondok rehat.

Dalam pada itu, Ariffin turut mengumumkan peruntukan RM10,000 terhadap pembinaan semula surau An Nur, yang menjadi tarikan pelancong kerana keunikan pembinaan serta seni ukiran kayu yang menarik.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.