Lebih 62,000 pas perjalanan tanpa had My30 telah dijual sejak 15 Jun

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 1 week ago on 29 June 2020
Read News

KUALA LUMPUR:

Lebih 62,000 pas perjalanan tanpa had My30 telah dijual sejak dilancarkan pada 15 Jun lepas, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata dalam tempoh dua minggu itu juga jumlah penumpang pengangkutan awam meningkat beransur-ansur sehingga 40 peratus daripada jumlah penumpang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kerajaan berharap dengan kebenaran jumlah penumpang 100 peratus kapasiti dalam perkhidmatan rel sejak 11 Jun lalu, lebih ramai rakyat akan kembali menggunakan perkhidmatan rel awam.

“Jumlah ini dijangka meningkat dengan pembukaan semula sekolah secara berperingkat," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat korporat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) .

Inisiatif My30 diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta, melibatkan empat mod pengangkutan awam iaitu transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), KL monorail dan bas Rapid KL.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Muhammad Nizam Alias berkata bagi menggalakkan pelancongan domestik dan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan pelancong dan bukan pengguna tetap pengangkutan awam, Prasarana memperkenalkan diskaun tambahan untuk pas ‘MyCity’ bermula Rabu ini.

Bagi pas perjalanan sehari, diskaun 50 peratus diberikan dan pengguna hanya perlu membayar RM5 sementara untuk pas tiga hari, harga dikurangkan daripada RM25 kepada RM15 sahaja.

“Diskaun tambahan ini adalah untuk mereka yang jarang menggunakan pengangkutan awam, yang mungkin guna pada hujung minggu sahaja, jadi pas My30 mungkin tidak sesuai untuk mereka,” katanya. 

Mengenai status terkini pembinaan projek LRT3, Muhammad Nizam berkata projek itu bersambung semula selepas dihentikan sementara semasa pelaksanaan PKP.

Setakat Mac lepas, projek itu mencapai tahap 30 peratus siap, katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.