MATTA syor lima inisiatif bela industri pelancongan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 4 June 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

 Kerajaan digesa melaksanakan lima inisiatif bagi menyerap risiko kesan ekonomi terhadap penggiat industri pelancongan, susulan sekatan perjalanan di seluruh negara yang bakal berkuat kuasa Selasa ini.

Bendahari Kehormat Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Faeez Fadhlilah, berkata bantuan berbentuk fiskal yang perlu dipertimbangkan kerajaan merangkumi moratorium bayaran pinjaman secara automatik dan tanpa faedah sehingga 31 Disember ini untuk penggiat industri.

Katanya, ia wajar meliputi lanjutan subsidi upah sehingga penghujung tahun ini, pembatalan Kursus Penambahbaikan Pelancongan dan Pengembaraan (TTEC) serta bantuan kewangan kepada ejen pelancongan yang paling terjejas berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan secara berterusan.

"Satu hala tuju jelas ke arah pemulihan industri pelancongan perlu dirangka untuk membantu lebih 25 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja industri pelancongan.

"MATTA menyokong cadangan Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) yang meminta 70 peratus subsidi upah diberikan kepada pekerja berpendapatan bulanan kurang daripada RM4,000.

"Pada masa sana, subsidi upah berkadar 30 peratus dengan nilai siling RM3,000 diperuntukkan kepada pekerja berpendapatan bulanan lebih RM4,000," katanya dalam kenyataan.

Menyentuh hala tuju untuk industri pelancongan, Faeez berkata, kerajaan wajar mengemukakan unjuran bersandarkan fakta berkaitan mengenai jangka pembukaan sempadan domestik dan antarabangsa bagi merancakkan semula ekonomi.

Bagi menjamin impak menyeluruh, katanya, langkah meminda dasar perundangan berkaitan termasuk Akta Industri Pelancongan 1992 dan pembatalan TTEC harus digariskan dalam hala tuju kerajaan.

"MATTA dan industri pelancongan sentiasa menyokong kerajaan dalam mengharungi pandemik kesihatan ini.

"Justeru, tiba masanya untuk kerajaan melakukan perkara sama bagi menyelamatkan industri nazak yang memayungi jutaan pekerja ini.

"Kunci utama ke arah menguruskan krisis ini terarah kepada kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta, supaya kita bersama-sama dapat keluar daripada kancah pandemik COVID-19 dengan impak serta kesan paling minimum," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.