Melaka harap kerajaan pusat timbang bantuan PERMAI kepada pengayuh beca

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 20 January 2021
Read News

MELAKA:

Kerajaan negeri Melaka berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbang untuk memberi bantuan sekali bayar kepada pengayuh beca di negeri itu di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata sebagai negeri pelancongan, bantuan sekali bayar kepada golongan rakyat termasuk yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan amat dialu-alukan selepas mereka terkesan dengan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kedua-dua keadaan itu telah menyebabkan kehidupan rakyat khususnya di Melaka begitu terkesan manakala aktiviti ekonomi dan kegiatan perniagaan terutama yang berkaitan dengan sektor pelancongan di Melaka telah terjejas dengan teruk.

“Bagi pihak kerajaan negeri Melaka, saya amat berharap agar pengayuh beca yang terlibat secara langsung dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri juga dapat dipertimbangkan untuk diberikan bantuan yang sama seperti pemandu pelancong dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Sulaiman berharap golongan rakyat dan komuniti perniagaan yang akan menerima manfaat langsung daripada pakej bantuan tersebut agar dapat menggunakan inisiatif yang disediakan dengan sebaik mungkin dan tidak menyalahgunakannya.

"Pengumuman pakej bantuan terbaru itu diharap dapat membantu meringankan bebanan rakyat selain menjamin kelangsungan aktiviti ekonomi dan kegiatan perniagaan," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan PERMAI bagi mengurangkan beban dihadapi rakyat dan ketahanan ekonomi ketika negara sedang berdepan penularan pandemik COVID-19.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata pakej bantuan PERMAI yang memperuntukkan sejumlah RM15 bilion, antara lain mempunyai 22 inisiatif bermatlamat untuk memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.