Pengecualian cukai untuk hotel sokong sektor pelancongan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 17 February 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel sehingga 30 Jun 2021 dilaksanakan untuk menyokong sektor pelancongan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, nilai pengecualian cukai yang dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan sudah mencecah RM1.37 bilion setakat 29 Januari lalu, peningkatan sebanyak RM533.42 juta berbanding RM836.56 juta pada minggu sebelumnya.

"Antara inisiatif sokongan sektor pelancongan yang turut disediakan ialah pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong, serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya bagi pelancong asing," katanya.

Tengku Zafrul berkata, bagi Pembiayaan Sektor Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang mana peruntukan RM1 bilion disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS Mikro yang terkesan COVID-19, terdapat 573 permohonan bagi pembiayaan itu setakat 29 Januari lalu.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 277 permohonan sudah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM55.4 juta," katanya.

Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul berkata, beberapa hari lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mewujudkan gelembung perjalanan bagi merancakkan industri pelancongan di antara kedua-dua negara.

Justeru, katanya, Kementerian Kewangan amat mengalu-alukan inisiatif itu dan berharap dengan gabungan peruntukan pembiayaan bagi industri pelancongan, mereka yang terbabit di dalam industri berkenaan akan mampu untuk cergas semula.

Mengenai 'Bumiputera Relief Financing (BRF)' yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dengan dana RM200 juta, beliau berkata, sebanyak 519 PKS sudah menerima dana sebanyak RM143.8 juta setakat 29 Januari lalu berbanding 494 PKS dengan jumlah RM135.5 juta pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, di bawah KITA PRIHATIN bagi Program Subsidi Upah Fasa Dua (PSU2.0), sejumlah RM741.16 juta disalurkan kepada 64,345 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 518,793 pekerja.

"Seperti yang dinyatakan semasa Belanjawan 2021, PSU bersasar juga diperkenalkan bagi membantu sektor pelancongan dan peruncitan, manakala kesemua sektor yang terkesan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini adalah layak untuk menerima sokongan PSU 3.0 di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI)," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.