Penggiat industri terbeban akibat larangan acara perniagaan - MACEOS

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 26 November 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

Pandemik COVID-19 dan larangan acara bersemuka telah menjejaskan industri acara perniagaan dengan mencatatkan kerugian pendapatan sebanyak 90 peratus berbanding 2019.

Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) berkata kos operasi untuk meneruskan kelangsungan perniagaan yang kini menjadi beban besar kepada penggiat industri.

Presidennya, Francis Teo berkata pemain industri diberitahu bahawa mereka tidak boleh mengadakan acara perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pusat pameran dan konvensyen masih perlu membayar bil untuk memastikan lokasi acara dan perniagaan mereka terus beroperasi.

"Situasi ini memberi kesan kepada pemain industri acara perniagaan yang menghadapi kesukaran untuk terus bertahan," katanya.

Teo berkata tiga jenis kos operasi utiliti utama yang dibebani pemain industri, termasuk caj dikenakan  oleh Tenaga Nasional Bhd sebagai penalti bagi perniagaan yang tidak memenuhi penggunaan elektrik minimum.

"Walaupun diskaun sebanyak 15 peratus bagi penggunaan  elektrik enam bulan diberikan untuk industri perhotelan yang terjejas, ia telah berakhir pada bulan September lepas," katanya dalam satu kenyataan.

Dua utiliti lain adalah bil kumbahan Indah Water Konsortium, bagi beberapa  perniagaan bil tersebut akan mencecah sehingga RM10,000 sebulan, kadar tetap dikenakan tanpa mengira sama ada lokasi acara itu beroperasi atau sebaliknya dan cukai taksiran tahunan  oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

MACEOS berharap kerajaan dapat membantu mengurangkan beban penggiat industri semasa pandemik COVID-19 ini dengan menghapuskan penalti penggunaan elektrik, mengurangkan tarif bil pembetungan dan menurunkan kadar cukai taksiran.

"Pengurangan itu tidak semestinya untuk semua orang. Kerajaan dapat melaksanakannya berdasarkan kes demi kes, selepas permohonan dibuat oleh syarikat yang terlibat,” kata Teo.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.