Perak perkenal enam kluster pelancongan, sasar lima juta pelancong domestik

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 29 September 2020
Read News

PERAK:

 Kerajaan negeri menerusi Tourism Perak memperkenalkan enam kluster pelancongan di negeri ini yang menjadi tumpuan utama pelancong domestik, sekali gus diharap dapat mencapai sasaran kedatangan lima juta pelancong domestik pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata enam kluster itu adalah kluster Bandaraya Ipoh merangkumi Gopeng, Kampar dan Batu Gajah, kluster Royal Belum bermula dari Kuala Kangsar, Gerik dan Pengkalan Hulu manakala kluster Taiping meliputi kawasan Larut, Matang dan Selama serta Kerian.

Tiga lagi kluster adalah kluster Manjung meliputi kawasan Perak Tengah, Lumut dan Pulau Pangkor, kluster Hilir Perak melibatkan Teluk Intan dan Bagan Datuk serta kluster Perak Selatan merangkumi kawasan Tapah dan Tanjung Malim.


"Sebagai contoh, pelancong domestik boleh menghabiskan percutian selama tiga hari dua malam dalam mana-mana kluster pelancongan dengan berkunjung ke pelbagai tempat dengan pakej penginapan yang menarik, selain mengadakan pelbagai aktiviti serta merasai makanan tradisi atau popular yang terdapat di kawasan berkenaan.

"Ini merupakan strategi yang kita lihat boleh diguna pakai untuk meningkatkan kedatangan pelancongan domestik pada waktu kita sedang menghadapi pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Semarak Pelancongan Perak 2020 di sini.

Sementara itu Nolee Ashilin berkata fasa kedua baucar pelancongan #TravelPerakLah akan diteruskan bermula Oktober ini sehingga Mac tahun depan dengan penambahan sebanyak 3,000 keping baucar kepada pelancong domestik.

"Fasa kedua ini diteruskan memandangkan inisiatif kerajaan negeri memperkenalkan baucar pelancongan #TravelPerakLah fasa pertama yang bermula Julai lepas, mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelancong domestik.

"Bagi fasa kedua ini, kita akan menawarkan pakej perkhidmatan bas persiaran dua tingkat, Hop-On Hop Off (HOHO) selain pelbagai tawaran pakej pelancongan menarik daripada agensi pelancongan yang terpilih," katanya.

Baucar pelancongan #TravelPerakLah adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu memulihkan sektor pelancongan negeri yang terbahagi kepada dua iaitu baucar bernilai RM50 dan RM30 bagi penginapan di hotel terpilih.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.