Pertandingan video “Thai Tiew Malaysia” tawar hadiah bernilai 72,000 baht

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 14 January 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Rakyat Thailand dan ekspatriat di negara itu dijemput untuk menyertai pertandingan mencipta video "Thai Tiew Malaysia" (Perjalanan Thailand ke Malaysia) yang menawarkan hadiah berjumlah 72,000 baht (RM9,698).

Peserta perlu mengemukakan video pendek berdurasi 30 hingga 60 saat yang mempromosikan pelancongan Malaysia bagi melayakkan mereka memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk tiket kapal terbang, penginapan di hotel, baucar membeli-belah dan wang tunai.

Duta Besar Malaysia di Thailand Datuk Jojie Samuel berkata pertandingan yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia (Bangkok) dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di sini itu adalah inisiatif untuk mempromosikan dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dalam masa yang mencabar ini.


"Malaysia mengalu-alukan pelawat untuk merasakan kepelbagaian dan keunikan negara apabila sempadan kita selamat untuk dibuka nanti," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelancongan Malaysia (Bangkok) Mazreena Mohd Yusof berkata pertandingan itu juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada rakyat asing melalui kempen ‘Malaysia Truly Asia’ terutama ketika perjalanan rentas negara tidak dibenarkan kerana wabak COVID-19.

"Kami berharap pertandingan ini akan menimbulkan keterujaan dalam kalangan pelancong dan menimbulkan minat baharu untuk mereka melawat Malaysia sebaik sahaja sempadan negara dibuka semula dalam masa terdekat," katanya.


Pertandingan mencipta video "Thai Tiew Malaysia" dibahagikan kepada tiga kategori - pelajar Thailand, warga Thailand dan ekspatriat yang tinggal di Thailand.

Video-video tersebut digalakkan untuk memasukkan kandungan mengenai makanan, seni dan budaya, seni bina, destinasi percutian dan tarikan semula jadi Malaysia. Tarikh tutup penyerahan ialah pada 31 Jan ini.

Pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah bernilai 44,000 baht (RM5,927) termasuk wang tunai 10,000 baht (RM1,347), tiket penerbangan, penginapan hotel, baucar membeli-belah dan memorabilia korporat, sementara tempat kedua memenangi hadiah bernilai 18,000 baht (RM2,424) dan hadiah tempat ketiga bernilai 10,000 baht (RM1,347).

Maklumat lanjut mengenai pertandingan video itu boleh diperoleh dengan mengunjungi laman Facebook www.facebook.com/malaysia.travel.th atau  laman web https://www.kln.gov.my/web/tha_bangkok/home.         

 Pertandingan ini disokong dan ditaja oleh rakan industri termasuk Dorsett Hospitality International (M) Sdn Bhd, Lexis Suites Penang, Malaysia Airlines Berhad, Resort World Genting, Sunway Lagoon serta Sunway Resort Hotel & Spa.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.