RM1juta Untuk Bantu Tingkat Modal Insan Sektor Pelancongan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 19 June 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Bagi memastikan sektor pelancongan terus relevan dan mampu menyumbang kepada ekonomi negara, Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) telah menjalinkan  kerjasama DHS Hospitality Academy Sdn. Bhd menerusi program pembangunan modal insan. Lebih RM1 juta dalam bentuk biasiswa akan ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perhotelan dan hospitaliti.

Menurut Uzaidi Udanis , Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, kerjasama ini akan menawarkan program latihan jangka pendek untuk industri dan pengembangan pengurusan modal insan sejajar dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri awal tahun ini.

“Kami berharap dengan program ini, MTC dapat menarik lebih banyak belia terutama dari keluarga B40 dan M40 untuk meneruskan kerjaya dalam bidang pelancongan dan perhotelan,” kata Uzaidi menerusi sidang media yang diadakan secara atas tailan.

Sementara itu Datuk Dr Noor Zari Hamat , Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, turut menyokong inisiatif ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjana semula pertumbuhan industri pelancongan dengan merancang strategi pemulihan khususnya dalam membangunkan modal insan yang akan menjadi penggerak utama sektor pelancongan negara.

“Meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan adalah antara enam teras strategik utama melalui Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020 – 2030. Saya berharap agar usaha menjayakan dasar pelancongan ini   mendapat sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya penggiat industri, Badan Bukan Kerajaan, pihak swasta dan  semua pihak berkaitan,” kata Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Tambahnya lagi negara memerlukan hala tuju yang dinamik dan modal insan yang berkredibiliti dalam memulihkan semula industri pelancongan ini.  

Justeru melalui jalinan kerjasama antara Majlis Pelancongan Malaysia dan DHS Hospitality Academy Sdn. Bhd  bagi menjayakan program pembangunan modal insan ini, ia mampu menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta menjadikan Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.