STB melancarkan kempen pelancongan "Sia Sitok Sarawak"

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 22 August 2020
Read News

KUCHING:

 Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) melancarkan kempen pelancongan yang dikenali sebagai "Sia Sitok Sarawak" atau “Here and There Sarawak” hari ini dalam satu lagi usaha memacu industri pelancongan negeri.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kempen itu akan membolehkan penduduk tempatan dan juga mereka yang memiliki permit kerja di Sarawak, menikmati produk-produk pelancongan dalam negeri pada potongan harga sehingga 50 peratus.

Menurutnya jualan produk-produk berkenaan adalah dalam tempoh tiga bulan antara 15 Julai dan 15 Okt, dengan tempoh perjalanan bermula hari ini sehingga 31 Disember ini.

“Kempen Sia Sitok Sarawak menawarkan lebih 30 tempat menarik, lawatan dan aktiviti di Kuching, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Mulu, termasuk lawatan sehari, serta lawatan penuh beberapa hari lengkap dengan penginapan dan makanan,” katanya semasa melancarkan kempen itu di sebuah hotel ternama di sini.

Beliau berkata antara pakej unik dan menarik yang ditawarkan semasa kempen termasuk pelayaran di Sungai Sarawak, Irrawaddy Dolphin Cruise di Santubong, memerhati burung di Taman Negara Kubah, aktiviti menyelam di Pulau Sarang, lawatan ke Kuching Wetland dan lawatan ke Taman Negara Bako.

Lain-lain pakej termasuk lawatan ke Taman Negara Tanjong Datu, bermain golf di Eastwood Golf Miri, lawatan ke Bintangor dan Sarikei Countryside, meneroka Bintulu, menjelajah Mukah-Melanau, meninjau Gua Silabur, dan lawatan ke Kampung Sting.

Abdul Karim berkata di bawah kempen itu, bayaran untuk menyertai Sarawak River Sunset Cruise diturunkan daripada RM50 kepada RM25 seorang, manakala lawatan ke Taman Negara Mulu yang biasanya berharga sekitar RM2,000 kini ditawarkan pada harga RM600, tidak termasuk tambang tiket penerbangan.

Sebagai permulaan, kempen ini akan dibuka kepada petugas barisan hadapan COVID-19 Sarawak dan petugas bantuan yang antaranya termasuk dalam kalangan anggota Jabatan Kesihatan, polis, Rela, tentera, Maritim Malaysia dan bomba.

“Pakej ini dibuka kepada mereka untuk meneroka tempat-tempat dalam negeri ini pada harga yang termampu,” katanya. 

Untuk keterangan lanjut mengenai kempen Sia Sitok Sarawak, orang ramai boleh melawat laman web di alamat https://sarawak.travel/explore-all dan tempahan boleh dibuat di https://siasitoksarawak.rezgo.com/


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.